TAPAH: Kebiasaannya ayam kampung atau ayam daging menjadi pilihan utama sebagai juadah raya, namun permintaan terhadap ayam belanda atau nama saintifiknya, meleagris gallopavo juga tinggi ketika ini.
Penternak ayam belanda di Changkat Petai Hilir, Tapah Road di sini, Zamri Mohd. Ramli, 56, berkata, sejak beberapa tahun ini permintaan terhadap unggas jenis itu meningkat secara mendadak.
“Dahulu untuk menjualnya semasa Hari Raya Aidilfitri cukup sukar sama ada dalam bentuk hidup, siap disembelih atau sejuk beku. Biasanya, ayam belanda ini laku keras pada Hari Natal.
“Namun, pada tahun ini, saya menerima lima tempahan pelanggan dari seluruh negara termasuk Shah Alam, Selangor untuk menikmatinya,” katanya di sini.
Dia memberitahu, ada pelanggannya yang tidak lagi menggunakan ayam kampung atau ayam daging sebagai hidangan istimewa Hari Raya Aidilfitri.
Katanya lagi, faktor lain yang memacu peningkatan positif terhadap ayam belanda disebabkan dagingnya yang lembut, halus, enak dan kandungan kolesterol lebih rendah berbanding ayam lain.
“Mungkin itu yang menyebabkan semakin ramai memilih ayam belanda sebagai hidangan istimewa keluarga pada hari raya.
“Kebiasaannya ramai yang memasak rendang ayam belanda untuk dijadikan juadah raya atau ungkep yang merupakan hidangan tradisi masyarakat Jawa,” katanya yang memaklumkan tempoh matang unggas itu sekitar enam dan tujuh bulan sebelum dapat disembelih.
Harga sekilogram (kg) ayam belanda ialah RM33 dan uboleh mencecah sehingga 9 kg tidak mengira jenis jantan atau betina.
Dalam pada itu, Zamri berkata, selain ayam belanda, ayam mutiara turut mula mendapat permintaan pelanggan dari seluruh negara.
“Ayam mutiara ini sedap dimasak nasi mandy kerana dagingnya lebih padat berbanding ayam kampung,” katanya. – UTUSAN