KUALA LUMPUR: Aliran trafik dari ibu kota menghala ke arah Pantai Timur dilaporkan perlahan sehingga pukul 11 pagi tadi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam aplikasi X berkata, trafik bergerak perlahan ke arah Pantai Timur di kawasan sebelum plaza Tol Gombak dan dari Gombak ke Genting Sempah.
Mengikut laporan, laluan ‘Smartlane’ di beberapa lebuh raya utama turut diaktifkan hari ini.
Antaranya di Lebuhraya PLUS (E2) iaitu dari Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (KM 280.0 – KM 276.0 arah Selatan);Lebuhraya PLUS (E1) dari R&R Rawang – Sungai Buaya (KM 439.5 – KM 435.5 arah Utara); Lebuhraya PLUS (E2) Kulai ke Senai (KM 27.0 – KM 19.0 arah Selatan); dan Lebuhraya PLUS (E1) dari Slim River ke Sungkai (KM367.3 – KM 354.0 arah Utara).
Dalam kenyataan tersebut, LLM menasihati orang ramai untuk berhati-hati ketika memandu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1-800-88-0000 dan laman Twitter www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – UTUSAN