Aidilfitri Felda Jengka 24 meriah dengan kepulangan lebih 2,000 anak perantau - Utusan Malaysia

Aidilfitri Felda Jengka 24 meriah dengan kepulangan lebih 2,000 anak perantau

RAZAK Daud (depan, tengah) gembira apabila kempen mengajak perantau pulang menyambut Aidilfitri di Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang berjaya apabila lebih 2,000 anak perantauan pulang menyambut Syawal bersama keluarga tercinta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di Felda Jengka 24 di sini hari ini meriah apabila lebih 2,000 anak perantau pulang bagi menyambut Syawal bersama keluarga tercinta.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, ia suatu yang luar biasa apabila jumlah perantau yang pulang ke situ meningkat berbanding 700 orang pada tahun lalu.

“Kita percaya ia hasil kempen yang dilakukan dalam bulan Ramadan bagi mengajak anak perantau pulang ke Felda Jengka 24 bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.

“Masjid di tanah rancangan ini pun penuh, khususnya dipenuhi anak-anak perantau untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Lebih 2,000 jemaah memenuhi masjid Felda Jengka 24 hari ini dan ia suatu yang luar biasa sehingga ada para jemaah yang tidak dapat sembahyang raya dan terpaksa balik kerana penuh,” katanya di sini hari ini.

Razak dalam pada itu berterima kasih kepada semua pihak terlibat khususnya pengurusan Felda Jengka 24, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).

“Saya mewakili warga Felda Jengka 24 begitu berbangga, teruja di atas komitmen yang diberikan anak perantau. Ibu bapa begitu gembira kerana anak-anak pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri kali ini.

“Ada rumah saya difahamkan, bergelimpangan anak-anak dan cucu sehingga terpaksa tidur di ruang tamu kerana tidak cukup bilik, ia sekali gus mewujudkan suasana hari raya yang cukup bermakna.

“Bila keadaan sebegini berlaku, ada dalam kalangan ibu bapa mula memikirkan untuk besarkan rumah dn tambah bilik, ia demi keselesaan anak dan cucu yang pulang ke kampung halaman,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan warga Felda Jengka 24 supaya beraya secara bersederhana berdasarkan kepada kemampuan masing-masing.

“Apa yang penting kita dapat merayakan Aidilfitri bersama anak-anak dan keluarga tercinta walaupun ia sedikit suram atau kurang meriah berbanding sebelumnya. Sambut secara besar-besaran pun belum tentu menjamin kebahagian pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN