PETALING JAYA: Aliran trafik di seluruh negara setakat 12.30 tengah hari ini lancar dan tiada sebarang kesesakan luar biasa dilaporkan sempena pemberian tol percuma menjelang perayaan Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, aliran trafik dijangka meningkat petang ini di kawasan hotspot susulan pemberian tol percuma bermula hari ini.
“Antara kawasan seperti Slim River ke Sungkai dan Terowong Menora berhampiran Gua tempurung dijangka akan mengalami sedikit kesesakan.
“Namun begitu, kesesakan itu tidaklah begitu teruk berikutan orang ramai sudah pulang ke kampung halaman masing masing bermula 6 dan 7 April,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Aliran trafik turut dilaporkan perlahan di KM263.9 arah Selatan dari Kuala Kangsar ke Ipoh (U) disebabkan oleh lori rosak dan di KM273.4 arah Utara dari Bandar Ainsdale ke Bandar Baru Nilai akibat kemalangan yang berlaku.
Mohd Yusuf turut mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung agar menyemak aliran trafik sebelum mengatur jadual perjalanan mereka dan memastikan baki kad Touch ‘n Go (TnG) mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1-800-88-0000 dan laman Twitter atau talian LLM 1-800-88-7752 sebelum memulakan perjalanan.