KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; menteri-menteri Kabinet serta pasangan masing-masing turut hadir majlis yang dihadiri kira-kira 400 tetamu itu.
Turut serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Perwakilan asing termasuk dari United Kingdom (UK), Turkiye, Mesir, Uzbekistan, Maldives, Senegal dan Ireland turut hadir.
Antara juadah disajikan ialah lemang, ketupat, rendang, sate, nasi beriani, laksa Johor dan mi rebus Johor yang dihidangkan secara bufet.
BERKENAN
Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada pukul 8.23 pagi tadi diiringi Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.
Solat sunat Aidilfitri berkenaan dipimpin Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md. Salleh.
Ini kali pertama Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara selepas melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.
Selain itu, Aidilfitri juga merupakan peluang terbaik untuk memperbaiki hubungan sesama umat Islam dan meninggalkan budaya label-melabel, caci-mencaci dan tuduh-menuduh sesama sendiri.
“Hakikatnya kita semua bersaudara. Terkadang dipecahkan oleh hal-hal yang sangat remeh, namun membawa kesan berpanjangan.
“Maka berusahalah memperbaiki hubungan sesama umat Islam atau kita berusaha menjadi pendamai kepada umat Islam yang berselisih,” katanya.
Selepas selesai solat sunat itu, Seri Paduka Baginda bersalaman dengan jemaah yang hadir. Solat berkenaan disertai kira-kira 200 jemaah.- UTUSAN