TUMPAT: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mengagihkan lebih 13,000 bungkus air percuma pelbagai perisa sepanjang sebulan Ramadan kali ini kepada penduduk sekitar Kampung Kampung Pasir Pekan menerusi Program i-Phoso.
Presidennya Aiman Yusri berkata, agihan itu merupakan salah satu bentuk perkongsian rezeki dengan golongan kurang berkemampuan di kawasan berkenaan.
“Walaupun sekadar sebungkus air, namun besar harapan kami agar usaha ini dapat memberikan kegembiraan buat penerima. Saya akui, peningkatan kos sara hidup hari ini mungkin memberikan kesukaran kepada golongan kurang berkemampuan untuk menikmati air yang sedap semasa berbuka puasa.
“Melihat kepada situasi itu, kami terpanggil untuk membantu meringankan beban mereka dengan berkongsi rezeki melalui agihan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Aiman memberitahu, hari biasa dia menyediakan hampir 420 bungkus air untuk diagihkan secara percuma kepada penduduk.
Katanya, bagaimanapun jumlah itu ditambah menjadi 1,050 bungkus semalam.
Sementara itu, seorang penduduk Tini Amani Mohamad Shamsudin, 21, berkata, setiap hari dia singgah untuk mengambil air percuma ini dan sumbangan itu mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan sepertinya.
“Ramai yang teringin nak merasa minuman pelbagai perisa yang dijual di bazar Ramadan, namun tidak berkemampuan. Namun dengan adanya program ini dapatlah saya merasa bermacam-macam jenis setiap hari seperti nanas, keladi, cincau, epal, tembikai dan sebagainya,” ujarnya.-UTUSAN