Ada bekas banduan tiada ‘hala tuju’

Ada bekas banduan tiada ‘hala tuju’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang banduan akhirnya diberi peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri pertama di luar tirai besi selepas lebih 20 tahun meringkuk di dalam penjara atas ‘dosa’ silam.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pe­nempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf), Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, banduan itu tidak ada hala tuju walaupun sudah seminggu dibebaskan dari Penjara Kajang.

Menurut beliau, sepanjang menjalani hukuman tidak ada ahli keluarga yang melawatnya sehingga menyebabkan apabila dia keluar tidak ada jejak untuk membantunya mencari keluarga untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.

“Dia antara banduan terakhir yang dibebaskan pada minggu lepas dan tidak mempunyai tempat tinggal. Ini maksudnya memang tidak ada tempat untuk dia pulang beraya dan dia kini ada dengan saya.

“Apabila dia sudah lebih 20 tahun hidup di dalam penjara, dia keluar memang tidak ada hala tuju. Kita langsung tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keluarganya atau di mana mereka berada,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Shahirul Kha­lid berkata, bekas banduan itu turut memerlukan sokongan bagi membantu dia dapat terus berjalan ke masa depan yang lebih baik dan tidak terjerumus semula ke dalam kancah kesalahan.

“Semasa awal saya jumpa bekas banduan itu, dia dalam keadaan bingung tidak tahu apa perlu dibuat dalam hidupnya sehinggakan dia fikir hanya ada dua pilihan sahaja iaitu sama ada kembali ke dalam penjara atau kekal di luar.

“Sekarang pihak Pemaaf sedang memberi sesi kaunseling yang diperlukan olehnya supaya dia tidak tertekan,” katanya.

Tambahnya, beliau turut mengambil inisiatif untuk mem­bawa bekas banduan itu beraya bersamanya bagi memberi pengalaman beraya yang dipercayai sudah lama dirindukannya.

“Saya akan bawa dia beraya bersama. Memang sekarang kami luangkan masa bersama dalam dua minggu sebab kita tidak mahu dia kembali membuat silap,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN