2,000 penduduk ‘sengsara’ tiada air sejak 10 tahun

2,000 penduduk ‘sengsara’ tiada air sejak 10 tahun

MOHD. SYUKRI Bakar menunjukkan dua buah tangki yang dibeli untuk menyimpan air di Kampung Bukit Nikmat Hulu di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 2,000 penduduk di pesisir Sungai Pahang di Pulau Tawar di sini resah dengan isu gangguan bekalan air yang berlarutan sejak 10 tahun lalu masih tiada penyelesaian sehingga menyukarkan kehidupan harian mereka.

Penduduk terbabit adalah di Kampung Masjid Kedondong, Kampung Batu Leja, Kampung Kelola, Kampung Bukit Nikmat Hulu, Kampung Bukit Nikmat Hilir dan Kampung Durian Hijau.

Tinjauan mendapati kebanyakan penduduk memaklumkan punca gangguan di­sebabkan paip bocor kerap kali berlaku dan tekanan rendah berikutan penggunaan paip lama sepanjang kira-kira 30 ki­lometer yang dibina sejak 1970-an untuk bekalan air ke kampung tersebut dari Loji Rawatan Air (LRA) Jengka Lapan melaui persimpangan masuk jalan ke Pulau Tawar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Bukit Nikmat Hulu, Mohd. Syuk­ri Bakar, 45, berkata, walaupun ada alternatif pihak berwajib menyediakan tangki dan menghantar air ketika ketiadaan bekalan tetapi masih tidak mencukupi kerana kemudahan itu digunakan banyak rumah.

“Oleh kerana kerap berdepan masalah ini, mahu tidak mahu saya berbelanja sendiri menyediakan dua tangki besar berkapasiti 1,200 gelen (4.5461 liter) untuk menampung keperluan rumah sendiri tetapi cuma bertahan hingga dua hari sahaja.

“Paip lama kerap berlaku kebocoran walaupun segera dibaiki pihak berwajib, tetapi penduduk yang tinggal berjauhan dari jalan dan tempat tinggi cukup terkesan apabila mengambil masa lama untuk memperoleh bekalan,” jelasnya.

Mohd. Syukri berterima kasih kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyum­bang bantuan menyediakan ‘paip boring’ untuk memperoleh air dalam tanah.

Peniaga makanan, Rosnida Mansor, 34, berkata, masalah bekalan air berlaku sudah lebih 10 tahun dan penduduk ‘sengsara’ setiap kali terputus bekalan lebih-lebih lagi musim panas dan bulan Ramadan.

“Penduduk di sini terpaksa menggunakan air mineral untuk minum dan memasak ketika bekalan air putus. Saya antara yang banyak beli air mineral untuk kegunaan sepanjang bulan Ramadan bagi menyediakan jualan juadah berbuka puasa.

Dia berharap kerajaan dapat menggantikan paip lama supaya kemudahan bekalan air ke kampung itu dan tempat lain tanpa gangguan selain jaminan kesihatan penduduk pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN