Sukarelawan timba pengalaman di Festival Layang-Layang - Utusan Malaysia

Sukarelawan timba pengalaman di Festival Layang-Layang

Kemeriahan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali ke-26.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali ke-26 yang sedang berlangsung di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang di sini memberi manfaat kepada ramai pihak, termasuk penuntut institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) berhampiran.

Ini kerana mereka berpeluang mendapat ilmu pengetahuan tentang selok-belok penganjuran sesuatu acara bertaraf antarabangsa, yang dihadiri peserta daripada pelbagai negara seluruh dunia.

Pengalaman itu dikongsikan salah seorang sukarelawan, Ahmad Al Umai Umair, 20, yang sedang mengikuti pengajian peringkat Diploma Pengurusan Acara di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).

Katanya, pengalaman menjadi sukarelawan di FLLSPG24 itu merupakan  yang  berharga buat dirinya kerana mempelajari banyak perkara baharu dalam penganjuran acara.

PROGRAM

“Sebelum ini saya ada juga jadi sukarelawan tetapi untuk program berskala kecil, ini merupakan program pertama bertaraf antarabangsa buat saya, sudah tentu pengalaman itu berharga dan menarik.

“Banyak yang saya pelajari termasuklah bagaimana perjalanan sesebuah acara, mungkin orang ramai melihat darisudut luaran kejayaan program, tetapi sebagai sukarelawan kita dapat melalui sendiri proses penganjuran acara itu.

“Alhamdulillah, festival ini memang sangat menarik dengan penglibatan ratusan ribu pengunjung serta peserta antarabangsa dari pelbagai negara,” katanya dari Petaling Jaya. 

FLLSPG24 yang bertemakan Budaya Dinamik menghimpunkan seramai 139 peserta daripada 39 buah negara antarabangsa, termasuklah Malaysia selaku tuan rumah dengan menyasarkan kehadiran seramai 500,000 pengunjung.

Seorang lagi sukarelawan, Nureen Adilla Amiruddin, 19, memberitahu, penglibatan dalam FLLSPG24 ini berbeza berbanding pengalaman menjadi sukarelawan sebuah acara larian maraton di Singapura yang pernah disertainya, tahun lalu.

“Walaupun program itu diadakan di luar negara, tetapi majoriti pesertanya merupakan rakyat tempatan. Berbeza dengan FLLSPG24 ini, ia menghimpun peserta antarabangsa dari pelbagai negara.

SUKARELAWAN

“Menjadi sukarelawan bermakna kita turut berpeluang berinteraksi dengan mereka, secara tidak langsung turut belajar tentang budaya mereka, sudah tentu ia pengalaman baharu buat saya,” katanya yang berada dari Putrajaya.

Seorang lagi sukarelawan, Yasmin Aisyah Romzi, 19, dari Pontian pula berkata, kepenatan yang dirasakan sepanjang menjadi sukarelawan itu berbaloi dengan pengalaman yang diperoleh.

“Kebetulan menjadi sukarelawan di program seperti ini sesuai dengan bidang pembelajaran saya iaitu pengurusan acara. Jadi sedikit sebanyak pengalaman di sini berguna untuk saya dalam membina kerjaya pada masa depan.

“Banyak aspek dalam menguruskan acara ini selain daripada penyusunan jadual program, ini termasuklah aspek keselamatan dalam menguruskan orang ramai, lebih lagi dalam skala besar seperti ini,” jelasnya yang pertama kali hadir ke festival itu, tahun ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN