JOHOR BAHRU: Singapura mengungguli kategori pertandingan dron sempena Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali Ke-26 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, di sini.
Peserta antarabangsa dari republik itu, Goh Wee Ming mengutip sebanyak 80.4 mata, diikuti seorang peserta Singapura, Tan Xin Bo dengan 77.5 mata manakala tempat ketiga dimenangi peserta Malaysia, Ramli Junoh dengan kutipan 76.2 mata.
Wee Ming berkata, dia telah menyertai pelbagai festival layang-layang peringkat antarabangsa, namun FLLSPG amat istimewa buat dirinya.
“Saya sudah sertai banyak pertandingan layang-layang dan juga dron, sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa, tetapi festival layang-layang di Pasir Gudang ini lebih istimewa.
BUKIT
“Kemeriahan yang dirasakan di sini tidak sama dengan di tempat lain, kawasan bukit yang luas dan berangin, dengan ribuan pengunjung yang hadir menaikkan lagi semangat kita untuk membuat pertunjukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Xin Bo, pula berkata, dia tidak menjangka peserta Singapura akan mendapat tempat pertama dan kedua dalam pertandingan tersebut kerana semua peserta mahir mengawal dron.
“Tidak jangka, semua peserta terlibat merupakan profesional dan mempunyai kemahiran tinggi dalam mengawal dron. Apapun saya bersyukur kerana dapat memenangi tempat kedua.
“Sudah tentu saya akan kembali lagi ke sini tahun depan, FLLSPG ini merupakan antara festival layang-layang terbaik,” jelasnya.
FLLSPG24 Kali Ke-26 yang dianjurkan bermula 24 Februari hingga 3 Mac ini menyasarkan kehadiran seramai 500,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Bertemakan Budaya Dinamik, ia menghimpunkan seramai 139 peserta daripada 39 buah negara antarabangsa, termasuklah Malaysia selaku tuan rumah.- UTUSAN