Permainan gasing pangkah akan diadakan di 14 rancangan Felda di DUN Pulau Tawar - Utusan Malaysia

Permainan gasing pangkah akan diadakan di 14 rancangan Felda di DUN Pulau Tawar

PIHAK pengurusan dan pemain yang terlibat dalam Kejohanan Gasing Pangkah Tradisi di Felda Kota Gelanggi di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka akan menganjurkan program bermain gasing pangkah di 14 tanah rancangan Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar.

Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, permainan tradisional itu semakin kurang diminati dan hampir dilupakan oleh masyarakat khususnya anak muda.

“Jadi kita ambil inisiatif melaksanakan program sukan bersama komuniti setempat khususnya permainan gasing pangkah.

“Acara sukan komuniti ini akan melibatkan pengurusan Felda, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).

“Insya-Allah kita akan adakan program ini selepas bulan Ramadan ini. Bukan sahaja sukan bersama komuniti, kita juga akan mengadakan ziarah kasih,” katanya di sini.

Mengulas tentang gasing pangkah, Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, usaha menyuburkan minat dan kemahiran seni tradisional ini cukup signifikan kerana permainan itu bermula di istana serta dimainkan pembesar Kesultanan Melayu Pahang sejak abad ke-18.

Beliau berkata, permainan gasing pangkah bukan sahaja seni warisan tradisional, ia juga sukan yang mampu memupuk semangat persaudaraan semasa perlawanan dan juga latihan.

“Semangat pasukan dan persaudaraan juga adalah salah satu cara untuk menjaga tradisi permainan tradisional tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bermula hari ini sehingga esok, Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka menjadi pemantau Kejohanan Gasing Pangkah Tradisi di Felda Kota Gelanggi.

Menurutnya, sebanyak 30 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang julung kali dianjurkan oleh Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dengan kerjasama warga peneroka Felda Kota Gelanggi 1.

“Kejohanan itu bertujuan memeriahkan dan menghidupkan kembali sukan tradisional yang semakin dilupakan orang Melayu khususnya generasi muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya