Kedah muncul juara keseluruhan FLLSPG24

Kedah muncul juara keseluruhan FLLSPG24

Pasukan Kedah muncul juara keseluruhan Festival Layang-Layang Sedunia Ke 26 yang melabuhkan tirainya semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kontinjen pelayang Kedah kembali dinobatkan sebagai juara keseluruhan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali Ke-26 yang melabuhkan tirainya, semalam.

Kedah muncul juara setelah mengutip 57 mata, menewaskan kontinjen pelayang Johor di tempat kedua, diikuti kontinjen pelayang Kelantan di tempat ketiga.

Ketua Kontinjen Pelayang Kedah, Shairulnizam Mat Lazim berkata, pihaknya bersyukur kerana dapat kembali muncul juara selepas kali terakhir melakar kejayaan itu sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Ini merupakan kemenangan kelima kontinjen Kedah, terdahulu kami telah muncul juara pada tahun 2015, 2016, 2017 dan 2019. Ini kemenangan terbaharu kami, Alhamdulillah kami gembira dan bersyukur.

“Kejayaan ini akan terus menaikkan lagi semangat kami untuk meneruskan permainan tradisional layang-layang di negara ini, khususnya di Kedah,” katanya selepas tamat Majlis Penutup FLLSPG24 yang diadakan di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang.

BERHARAP

Kata Shairulnizam, pihaknya juga berharap untuk mengekalkan kejuaraan itu dalam penganjuran FLLSPG, tahun depan.

Sementara itu, Mohd. Hairi pula berkata, FLLSPG yang dianjurkan sejak 1995 merupakan salah satu acara pelancongan utama bukan sahaja di Johor, tetapi juga di Malaysia.

“Festival ini juga sesuai dianjurkan di Malaysia yang merupakan sebuah negara berbilang kaum, ini membuktikan permai­nan layang-layang dapat menya­tukan masyarakat berbilang kaum dan pelbagai lapisan umur.

“Sehubungan itu, kita wajar memelihara warisan ini agar tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan,” jelasnya.

Kata Mohd. Hairi, penganjuran FLLSPG24 itu dianggarkan telah menarik kehadiran seramai lebih 350,000 pengunjung ke Pasir Gudang, selain turut memberi peluang perniagaan kepada seramai 400 usahawan tempatan.

FLLSPG24 Kali ke-26 yang dianjurkan bermula 24 Februari hingga 3 Mac itu bertemakan Budaya Dinamik dan menghimpunkan seramai 139 peserta daripada 39 buah negara antarabangsa, termasuklah Malaysia selaku tuan rumah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN