KEB 2024 kompas baharu angkat martabat ekonomi bumiputera

KEB 2024 kompas baharu angkat martabat ekonomi bumiputera

KEB2024
ANWAR Ibrahim menerima Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONGRES Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) yang dianjurkan sejak tahun 1965 berjaya membentuk satu panduan tepat bagi memandu negara dalam mengangkat dan memartabatkan masyarakat bumiputera.

Penganjuran tiga hari bermula 29 Februari lalu oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Ekonomi serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu telah memberi satu ‘wake up call’ untuk semua pihak berganding bahu dengan sinergi demi memandu arah dalam sebuah perjalanan lebih mencabar dan berliku di masa depan.

Menerusi ucapan penutup KEB 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua intipati hasil kongres ini akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera.

Pelan jangka panjang Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera ini akan dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang dan dijangka diluncurkan pada Jun 2024.

AGENDA

Selaras dengan ikthiar kerajaan dalam memperkasakan agenda bumiputera, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Tabung Wakaf MARA Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh 10 tahun yang akan diterajui MARA dan dilaksanakan Yayasan Pelajaran MARA selari dengan hasrat penubuhan agensi ini sebagaimana yang dinukilkan pemimpin-pemimpin kita terdahulu.

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan menjayakan kolaborasi antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri.

“Sebagai tambahan kepada usaha murni tersebut, kerajaan dengan kerjasama syarikat GLIC, GLC serta badan-badan swasta terpilih memberi komitmen untuk melatih seramai 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan,” katanya.

KEB 2024 telah mengumpulkan pelbagai pandangan melalui 10 kumpulan sesi libat urus (SLU) merangkumi pelbagai aspek berkaitan bumiputera berjaya membuka mata tentang kedudukan golongan ini terutama penekanan khas dari aspek pendidikan.

Selain pendidikan, kerajaan memberikan fokus khas kepada bumiputera di Sabah, Sarawak, serta masyarakat Orang Asli. Tidak lupa juga tumpuan kepada industri halal yang berkembang pesat di dunia. Turut terlibat, kumpulan SLU berkaitan daya saing perusahaan bumiputera, penguasaan teknologi baharu dan bernilai tinggi, FELDA dan tanah wilayah, serta penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat dalam kalangan bumiputera.

Kerajaan sedar, tanpa penglibatan pemegang taruh lain selain pihak kerajaan, dibimbangi hasil dapatan sebarang kajian atau inisiatif tidak akan memberi gambaran sebenar keluh kesah rakyat terutama dalam kalangan bumiputera.

Justeru, SLU yang diadakan mengambil kira pelbagai pandangan termasuk dari wakil pemimpin, industri, pertubuhan bukan kerajaan, wakil belia, institusi pendidikan, usahawan, serta orang awam.

USAHA

Kedudukan semasa sosioekonomi bumiputera didedahkan oleh Ketua Setiausaha Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron yang menunjukkan kumpulan bumiputera masih lagi berada di tahap belakang berbanding kaum-kaum lain walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak enam dekad lalu bagi melonjakkan kumpulan tersebut.

Ia berdasarkan pemilikan kesaksamaan, penyertaan dalam tenaga mahir, pemilikan kediaman bagi setiap isi rumah dan nisbah pendapatan antara kaum.

Turut membangkitkan situasi perniagaan golongan bumiputera ialah Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani yang menyatakan konsep dan budaya ‘ali baba’ tidak memberi kelebihan buat usahawan bumiputera, malah ia menyebabkan kaum itu ketinggalan dalam bidang keusahawanan.

Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, dalam tempoh 25 tahun, kerajaan telah mengagihkan kontrak ataupun projek dianggarkan bernilai RM1.7 trillion kepada usahawan bumiputera, bagaimanapun, amat malang kerana konsep ‘ali baba’ ini menyaksikan usahawan bumiputera mengalami kerugian.

Pendedahan lain yang mengejutkan menerusi libat urus pengurusan korporat dan penciptaan kekayaan mengenai kedudukan penyertaan sebenar bumiputera dalam sektor perniagaan oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar. Menurut beliau,  hanya satu syarikat bumiputera daripada 97 syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Penguasaan korporat dalam kalangan syarikat tersenarai awam adalah masih rendah iaitu tujuh peratus melibatkan 62 syarikat tersenarai awam (PLC) daripada keseluruhan 945 PLC pada 2022.

Turut didedahkan mengenai penyertaan syarikat bumiputera dalam industri halal apabila hanya 38.7 peratus daripada 9,162 syarikat halal merupakan milik bumiputera.

Justeru, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin mencadangkan kerajaan merangka beberapa langkah bagi memastikan penyertaan bumiputera di dalam industri halal yang kini banyak dikuasai oleh syarikat-syarikat bukan bumiputera.

Antara turut dibincangkan ialah mengenai kehidupan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar adalah jauh lebih sukar apabila kelompok itu mengalami kemiskinan akibat kos sara hidup tinggi.

MISKIN

Hasil tinjauan aktivis sosial tempatan, Dr. Lin Mui Kiang meliputi 85 kawasan Parlimen yang dilaksanakan dari 2020 sehingga tahun lepas, golongan miskin bandar didapati mengeluh amat susah bagi mencari pekerjaan terutama dari kalangan Orang Kurang Upaya, ibu tunggal dan pesara.

Sebahagian besar mereka jelas Mui Kiang, berpendidikan setakat sekolah menengah dan tiada kemahiran atau modal meskipun berminat untuk cuba membuka perniagaan kecil.

Bagi mentransformasikan ekonomi luar bandar, dicadangkan pula industri berpendapatan sederhana dan tinggi perlu dipertingkatkan di kawasan-kawasan itu bagi menjana pendapatan 6.57 bumiputera di seluruh negara.

Ini kerana apa yang ada di kawasan itu hanyalah berkaitan industri kecil iaitu industri yang kerjanya untuk sara hidup dan bukan untuk berniaga atau mencari untung yang besar memandangkan industri sederhana dan tinggi tidak berada di kawasan-kawasan kampung.

Soal ekonomi dan pendidikan di Sabah dan Sarawak turut diberi perhatian apabila dideadahkan sikap kalangan Orang Asal Sabah masih lagi ketinggalan dalam pendidikan.

Bagi mengupayakan ekonomi Sarawak pula, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, kerajaan negeri itu merancang untuk meningkatkan jumlah penghasilan pelbagai tenaga untuk kesejahteraan penduduk di sana meliputi tenaga hidroelektrik, solar dan hidrogen.

TEPAT

Mengulas mengenai pasca KEB 2024, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, platform ini sebagai landasan tepat untuk mengupayakan ekonomi bumiputera terutama melalui pemerkasaan agensi Mara dari semua aspek yang bukan sahaja mengutamakan sektor pendidikan, malah membangunkan usahawan selain pembiayaan sektor perniagaan.

NORSYAHRIN HAMIDON

Katanya, kerajaan juga dicadangkan untuk mewujudkan semula sebuah bank digital bumiputera untuk menguruskan sendiri pengagihan dana dan modal perniagaan secara khusus mengikut keperluan masyarakat bumiputera.

Selain itu, kata beliau, kegiatan rasuah dan Ali Baba perlu diberi perhatian serius kerana ia dilihat sebagai punca utama membantutkan usaha melonjakkan ekonomi bumiputera.

“Dalam aspek ini, penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan rasuah dan ali baba perlu agresif. Kita amat menyokong komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membanteras rasuah dan menaikkan lantai rakyat bawah dan menaikkan siling perniagaan dalam kalangan negara serantau.

“Kerajaan juga perlu mengkaji semula kuota yang diberikan kepada bumiputera tidak hanya terperangkap dengan jumlah 30 peratus sahaja mengikut keperluan industri tertentu, ini kerana ramai bumiputera sudah mempunyai kelayakan dan merit perlu diberikan peluang lebih ramai untuk menguasai ekonomi,” katanya.

POSITIF

Sementara itu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Low Kian Chuan berkata, secara keseluruhan, pihaknya berpandangan positif dengan resolusi 10 topik perbincangan kerana ia bertepatan dengan tema positif, progresif dan inovatif.

LOW KIAN CHUAN

Katanya, adalah penting untuk menjadi inklusif kerana semua kumpulan minoriti harus dijaga biarpun berbeza bangsa dan latar belakang mereka.

“Kita rakyat Malaysia tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera harus bekerjasama untuk pembangunan ekonomi negara kita. Kita harus bekerjasama untuk mengembangkan kek ekonomi kerana cabarannya ialah persaingan global,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Dr. Anita Mohamed berkata, segala input yang dirancang menerusi KEB 2024 benar-benar membantu negara di dalam memulihkan ekonomi melalui peningkatan  ilmu dan produktiviti khasnya kepada kaum bumiputera.

Menurut beliau, Knowledge Economy atau K-Ekonomi perlu diperluaskan terutama dalam kalangan minoriti di pedalaman Sabah kerana ia akan membezakan antara satu individu dengan individu lain . dengan kesesuaian persekitaran, cara hidup, pengalaman akan mencetuskan idea, kreativiti, inovasi dan keistimewaan sekali gus  mencipta pelbagai peluang yang mampu menjana pendapatan dan menjaminkan kebolehan menyara diri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah, Prof. Datuk Foo Ngee Kee berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri bahawa KEB 2024 lebih inklusif dan mendapat kerjasama serta penyertaan bersama masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan selain membincangkan isu berkaitan ekonomi bumiputera.

Dalam majlis makan tengah hari Tahun Baru Cina PKS Sabah 2024 lalu yang dihadiri bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun, Dewan Perniagaan Melayu Sabah, Dewan Perniagaan India Sabah dan  Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah selain Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina KK, yang mewakili empat kaum utama di Sabah adalah membuktikan perpaduan kaum dan kepelbagaian dalam perniagaan.

SOKONG

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, jamuan tengah hari PKS Sabah membolehkan seluruh komuniti perniagaan berkumpul untuk sesi rangkaian yang perlu digalakkan dan disokong oleh kerajaan.

“Kami menantikan KEB 2024 untuk memupuk keterangkuman bagi menggalakkan kerjasama dan penyertaan bersama daripada semua komuniti perniagaan kaum untuk pembangunan ekonomi untuk faedah bersama,” katanya.

Bagi Pengerusi Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Bintulu, Sarawak, Cecelia Lagak pula berpandangan KEB 2024 sedikit sebanyak dapat membantu para usahawan untuk menyampaikan atau menyuarakan pendapat dan isu-isu berkaitan masalah yang dihadapi.

CECELIA LAGAK

Berdasarkan pengalaman beliau, terlalu ramai usahawan yang ada masalah terutama isu berkenaan dengan lesen perniagaan dan juga daftar cukai individu.

“Apabila peniaga kecil yang sememangnya tidak diberi pendedahan berkaitan  itu, ia akan menjadi isu ketika mereka dipanggil untuk mengisytiharkan perniagaan mereka sekali gus memberi impak kepada ekonomi,” katanya.

Hasil dapatan kongres ini bukanlah titik akhir penyelesaian segala permasalahan bumiputera. Ia merupakan satu langkah yang perlu diambil kerajaan walaupun jalannya panjang, sukar, dan berliku.

Ia diharap dapat memandu kerajaan merangka dasar atau program baharu berkaitan bumiputera yang lebih tepat dan efektif serta memenuhi kehendak semasa dan masa depan negara sekali gus diterjemahkan kepada tindakan-tindakan bagi memperkasakan ekonomi bumiputera supaya menjadi sebuah komuniti yang Madani, maju, terampil dan terangkum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN