KUANTAN: Kerajaan diminta mengkaji undang-undang dan peraturan bagi menyekat dominasi warga asing yang menyewa tanah rakyat untuk mengusahakan pertanian dan rumah bagi menjalankan perniagaan seperti kedai runcit.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, isu itu bukan baharu sebaliknya sudah sekian lama berlaku seolah-olah pemegang pas lawatan kerja sementara (PLKS), penduduk tetap (PR) atau berstatus pelarian daripada kalangan etnik Rohingya ‘kebal’ berbuat demikian.
Jelasnya, akibat tiada kawalan, ramai warga asing pada ketika ini sudah menjadi tauke dalam sektor pertanian dan peruncitan sehingga ada antara mereka mendominasi sesuatu kawasan sehingga mengundang rasa kurang senang rakyat tempatan.
“Sampai masanya kerajaan menyekat perkara ini bagi mengelakkan ia terus menjadi barah dan berleluasa seperti mana berlaku di Cameron Highlands.
“Jadi amat penting kerajaan mengkaji akta atau perundangan bagi menyekat perkara itu. Kerajaan perlu adil kerana jika peneroka rakyat tempatan yang menceroboh tanah boleh dikenakan tindakan, jadi tidak ada sebab warga asing dibiar terlepas begitu sahaja. Mereka juga perlu dihukum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, pendatang asing sepatutnya datang ke negara ini untuk bekerja saja mengikut permit mereka dan bukannya dibiarkan menjadi tauke sehingga mengaut puluhan ribu sebulan.
“Kerjasama rentas agensi kerajaan negeri dan Pusat, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan bagi mengesan warga asing yang mendominasi sektor pertanian dan peruncitan serta menjadi tauke di negara ini.
“Peka berharap isu ini dapat diselesaikan kerana tujuan. pekerja asing terpaksa dibawa masuk berikutan kekurangan tenaga kerja terutama dalam sektor pertanian, sebaliknya mereka pula menjadi usahawan tani sehingga mengancam periuk nasi petani tempatan,” katanya.
Selain itu beliau berkata, kerajaan juga diminta memantau dan mengambil tindakan terhadap rakyat tempatan yang menjadi orang tengah menerima komisen dengan menyewakan tanah dan tempat kediaman kepada warga asing. – UTUSAN