Gunting rambut percuma ringan beban ibu bapa khususnya golongan B40 - Utusan Malaysia

Gunting rambut percuma ringan beban ibu bapa khususnya golongan B40

PROGRAM gunting rambut percuma dan bantuan kepada janda serta duda bagi membantu meringankan beban rakyat kurang berkemampuan di Felda Jengka 24.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Program gunting rambut percuma memberikan manfaat kepada ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah kerana dapat mengurangkan perbelanjaan bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, harga gunting rambut pada ketika ini kini boleh mencecah sehingga RM15 seorang dan ia agak membebankan bagi keluarga yang mempunyai anak ramai.

“Pendekatan ini walaupun nampak tidak sebesar mana, tetapi bagi golongan ibu bapa berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai, ia sangat bermakna.

“Bayangkan jika sesebuah keluarga ada tiga orang anak lelaki yang bersekolah, sudah tentu mereka dapat berjimat dan menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan sekolah yang lain,” katanya di Felda Jengka 24 di sini hari ini.

Razak berkata, seramai 100 orang murid dan pelajar menyertai program gunting rambut percuma yang julung kali dianjurkan UMNO Cawangan Jengka 24 bersama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka 24.

Beliau berkata, usaha tersebut sebagai sokongan selain membantu mengurangkan beban ibu bapa terlibat.

Menurutnya, selain gunting rambut percuma, turut diberikan 20 set alat tulis iaitu kepada 10 murid sekolah rendah dan 10 pelajar sekolah menengah terawal.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena menyambut Ramadan, pihaknya turut memberikan sumbangan kepada 10 janda dan empat duda di Felda Jengka 24.

“Mereka menerima sumbangan berupa beras, minyak masak, susu, gula, teh dan juga kurma,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya