TAIPING: Kesempitan hidup sebagai penoreh getah dan tukang cuci sekolah membuatkan Radiah Ramli, 44 tahun, bertekad mencari pendapatan tambahan dengan membuat serta menjual kuih baulu.
Setelah 17 tahun, beliau kini telah berjaya mengubah kerja sampingan itu menjadi satu industri kecil dengan nama Cik Yah Bahulu Warisan yang berpangkalan di Changkat Jering di sini.
Sepanjang tempoh itu juga, tercetus idea dalam dirinya untuk menghasilkan produk bakeri lain seperti roti, kek dan biskut popular semasa musim perayaan.
PERMULAAN
“Kuih baulu menjadi permulaan saya dalam bidang ini. Kuih ini merupakan kuih yang dibuat oleh ibu saya pada suatu ketika dahulu. Saya mempelajarinya dan kemudian menceburi bidang bakeri secara formal,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.
Radiah berpindah ke sini sejak berkahwin 23 tahun lalu, dan pekerjaan sebagai penoreh getah dan tukang cuci sekolah adalah paling mudah untuk beliau mohon. Namun, pendapatan yang diperoleh tidak cukup menampung kehidupan harian.
Pada peringkat awal, perniagaannya dijalankan secara kecil-kecilan sahaja sebagai satu pendapatan sampingan. Namun, atas bantuan pelbagai agensi kerajaan Pusat dan negeri, lembaran baharu jenama Cik Yah Bahulu Warisan mengorak langkah.
Kata beliau, perniagaannya kini berjalan lancar, pendapatan stabil dan produk sudah mendapat tempat jualan dalam beberapa pasar raya.
“Ramai datang membeli dengan jumlah yang banyak untuk dibawa pulang ke tempat masing-masing. Kadangkala mereka menjual di tempat mereka. Malah pernah sampai ke Australia kerana ramai yang mahu makan baulu terutama rakyat Malaysia,” katanya.
Pengusaha itu kini mahu memastikan produknya mendapat beberapa pensijilan utama tempatan untuk membolehkan keluarannya lebih mudah diterima dan diperluaskan dalam pasaran.
Beliau melahirkan rasa syukur apabila dibantu oleh Kerajaan Negeri Perak, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, Amanah Ikhtiar Malaysia serta Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Usaha itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad di bawah flagship ke-5 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat serta flagship ke-6, Membasmi Miskin Tegar.
Jelasnya, bantuan daripada Kerajaan Perak dan terutamanya Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang dan Selama amat besar dari segi penyediaan bengkel serta mesin penghasilan baulu. – UTUSAN