TEMERLOH: Ramadan yang mulia memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan kerja amal, baik menerusi aktiviti atau sumbangan berbentuk peribadi.
Apa yang pasti, Ramadan juga kesempatan terbaik untuk setiap individu membantu golongan dan pihak yang memerlukan.
Menyedari kepentingan itu, Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi, Daz Bikers mengukir senyuman buat 30 anak yatim berusia antara tiga hingga 15 tahun apabila menyediakan tempat tinggal buat mereka di Rumah Anak Yatim Qaseh Qamil Qarmila Daz.
Penaung rumah anak yatim tersebut, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, rumah anak yatim itu ditubuhkan bermula Februari lalu di sebuah kediaman yang disewa di bandar ini.
“Sebelum ini, anak yatim yang terdiri daripada 18 lelaki dan 12 perempuan ini tinggal di sebuah rumah yang diwakafkan di Temerloh. Tetapi rumah berkenaan diambil balik oleh waris pemilik rumah tersebut.
“Prihatin dengan nasib anak-anak yatim terbabit, Daz Bikers menubuhkan Rumah Anak Yatim Qaseh Qamil Qarmila Daz yang bermaksud kasih sayang yang sempurna buat lelaki dan perempuan,” katanya di sini.
Zuhairi berkata, Daz terpanggil menyediakan tempat tinggal buat anak yatim berkenaan terutama sempena Ramadan kali ini.
“Penting bagi kami untuk turut bersama-sama membuat perubahan dalam komuniti terutama terhadap kehidupan orang yang kurang bernasib baik.
“Baru-baru ini, kami mengadakan majlis makan amal gulai kawah di sebuah tapak perniagaan yanh baru dibuka iaitu Daz Wind Hill di Bukit Angin, Temerloh dan berjaya mengumpulkan lebih RM3,000 untuk tabung rumah anak yatim tersebut,” katanya.
Menurutnya, sempena Ramadan kali ini, Daz Bikers berharap sumbangan diberikan tersebut memberikan sinar baharu kepada 30 anak yatim berkenaan.
Tokoh korporat dan orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi penjaga Rumah Anak Yatim Qaseh Qamil Qarmila Daz, Mohd. Rasydi Ramli di talian 0165618006. – UTUSAN