Agrobank kongsi rezeki dengan masyarakat sempena Ramadan

Agrobank kongsi rezeki dengan masyarakat sempena Ramadan

TENGKU Ahmad Badli Shah Raja Hussin (kanan) mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Media Mulia bersama Agro Bank di Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak, Kuala Lumpur Khamis lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehadiran bulan Ramadan tidak menghalang Agrobank untuk menyediakan juadah berbuka puasa yang sinonim dalam kalangan orang tempatan dengan penganjuran pengagihan bubur lambuk.

Agrobank menyantuni komuniti tempatan dengan mengagihkan 11,100 pek bubur lambuk kepada orang ramai di seluruh Malaysia melalui cawangan-cawangannya di setiap wilayah.

Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Mohamed Iqbal Mohamed Iqbal berkata, anjuran program itu melibatkan 10 tempat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

MEMBANTU

“Ia berjalan secara serentak bermula 14 Mac untuk kita bersama-sama meraikan kemuliaan bulan Ramadan dan juga saling membantu.

“Program ini juga merupakan agenda penting Agrobank dalam memainkan peranan untuk memberi semula kepada masyarakat selain daripada program perbankan yang kita lakukan tertumpu kepada sektor agro ekonomi,” katanya.

AHLI kariah surau mengacau bubur lambuk pada program Kongsi Berkat Bubur Lambuk di Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak.

Terdahulu, Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran bersama Media Mulia Sdn. Bhd. dan Agrobank yang bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan diadakan di pekarangan Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak di Setapak di sini.

Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak sebagai tanda menyantuni masyarakat setempat di bulan Ramadan.

Aktiviti gotong royong memasak bubur lambuk bermula seawal pukul 7.30 pagi itu meriah dengan kehadiran ahli kariah surau serta wakil Agrobank dan MMSB.

PERUNTUKAN

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, sejumlah RM100,000 peruntukan digunakan bagi menjayakan program pengagihan bubur lambuk seluruh negara melibatkan masjid berhampiran cawangan Agrobank.

“Program ini kita laksanakan berdekatan dengan masjid berhampiran lokasi cawangan wilayah Agrobank. Kita juga pernah buat program seperti ini pada tahun sebelumnya dan kita harap dapat menjalankan program seumpama ini untuk mendekati masyarakat pada tahun akan datang,” katanya.

Pada masa sama, Agrobank turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada golongan asnaf, miskin dan anak yatim bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.

“Selain membantu mereka yang memerlukan, Agrobank ingin bersama-sama mengimarahkan sambutan Ramadan bersama masyarakat dengan berkongsi untuk dinikmati.

“Agihan zakat kepada kelompok yang memerlukan merupakan komponen penting untuk menjaga kebajikan masyarakat. Oleh itu, Agrobank prihatin terhadap golongan susah dan dengan sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.

KAKITANGAN MMSB bersama Agro Bank mengisikan bubur lambuk ke dalam bekas untuk diagihkan kepada orang ramai.

Tambahnya, Agrobank akan berkolaborasi dengan MMSB untuk beberapa program tanggungjawab sosial korporat pada masa akan datang dan menyokong program yang menyantuni masyarakat.

BANGGA

Pengerusi Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak, Mahat Yunus berkata, beliau sangat gembira dan berbangga apabila dapat bekerjasama dalam program agihan bubur lambuk bersama Agrobank.

“Sebelum ini pernah juga terlibat dengan program seperti ini melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan gotong royong tetapi ini adalah program pertama untuk Ramadan tahun ini. Kami merasa sangat teruja kerana ramai ahli jawatankuasa surau dan ahli kariah turut serta.

“Lebih 30 peserta terlibat untuk menjayakan program ini dan kita juga menggunakan khidmat tukang masak yang mempunyai pengalaman hampir 28 tahun untuk resepi bubur lambuk kali ini,” katanya.

Ahli kariah yang juga selaku Ketua Biro Muslimah Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak, Latifah Mokhtar juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam menjayakan program agihan bubur lambuk tahun ini.

“Kita merasa bertuah dan bersyukur kerana Agrobank dan Media Mulia memilih surau ini sebagai lokasi untuk pengagihan bubur lambuk untuk berkongsi rezeki bersama masyarakat dengan melibatkan ahli kariah dan komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN