JERANTUT: Semua 35 masjid dalam gugusan Felda Wilayah Jengka disaran melaksanakan solat hajat memohon kepada Allah SWT supaya menurunkan hujan memandangkan cuaca terlalu panas.
Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat dalam urusan seharian.
“Saya menyeru semua 35 masjid dalam Felda Wilayah Jengka mengadakan solat hajat meminta hujan sebagai mana pernah dibuat oleh Rasulullah SAW.
“Semoga dengan usaha dan ikhtiar ini, Allah SWT menurunkan rahmat-Nya kepada kita semua dengan menganugerahkan hujan secara merata lagi menyegarkan bumi ini,” katanya di sini hari ini.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, ekoran cuaca panas melampau, ia memberikan kesan kepada muka bumi dan alam sekitar apabila banyak pokok mati dan sawit juga melawas.
“Sungai juga semakin mengering sebagai mana di Maran dan Temerloh. Ada juga kematian akibat strok haba di negeri ini.
“Jadi saya mohon kita melakukan solat hajat memohon keampunan Allah SWT supaya kemarau ini bukan menjadi bala yang menimpa kita semua. Kita bimbang jika berlaku kemarau berpanjangan, akan berlaku krisis air yang lebih serius,” katanya.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di Gugusan Felda Wilayah Jengka supaya mengurangkan aktiviti luar dan banyak minum air kosong selepas waktu berbuka puasa.
“Larang anak-anak bermain di luar rumah ketika cuaca panas dan elakkan pembakaran terbuka kerana sudah ada kejadian kebakaran yang memusnah rumah penduduk,” katanya. – UTUSAN