12 anak yatim Felda Jengka 24 terima sumbangan sempena Ramadan - Utusan Malaysia

12 anak yatim Felda Jengka 24 terima sumbangan sempena Ramadan

RAZAK Daud (depan, tengah) bersama 12 anak yatim yang menerima sumbangan Ramadan di Masjid As-Sobirin Felda Jengka 24 di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 12 anak yatim di Felda Jengka 24 di sini gembira apabila menerima sumbangan RM700 setiap seorang bagi meringankan beban mereka menyambut Ramadan yang bakal tiba dan hari raya Aidilfitri.

Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, bantuan berkenaan hasil sumbangan masyarakat setempat di tanah rancangan itu menerusi Tabung Anak Yatim Felda.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka berkata, tabung itu sudah 10 tahun diwujudkan sejak 2014 dan diletakkan di Masjid As-Sobirin Felda Jengka 24.

“Hasil sumbangan orang ramai menerusi tabung berkenaan, kita dapat mengumpul dana dan memberikan sumbangan setiap tahun kepada anak yatim dalam Felda Jengka 24 bagi menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

“Pada tahun lalu, kita berikan sumbangan RM200 setiap seorang kepada anak yatim, tahun ini meningkat RM700 seorang. Selain wang tunai, turut diberikan barangan seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

“12 anak yatim yang menerima sumbangan kali ini begitu gembira dan memberitahu dengan duit itu dapat mereka berbelanja membeli keperluan sekolah dan baju raya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razak berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan penduduk di Felda Jengka 24, orang ramai dan tokoh-tokoh korporat kepada Tabung Anak Yatim Felda di tanah rancangan tersebut.

Beliau dalam pada itu berkata, Gabungan Masjid Wilayah Jengka akan meningkatkan program keagamaan dan kemasyarakatan di semua 35 masjid di wilayah itu tahun ini bagi memberikan kesan positif kepada komuniti setempat.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Gabungan Felda Wilayah Jengka berkata, transformasi sesebuah masjid perlu terus dilakukan dan tidak tertumpu hanya tempat beribadah semata-mata tetapi menjadikannya mesra dan selesa untuk semua komuniti.

“Bermula bulan ini, kita giat mengumpul dana bagi melaksanakan program-program keagamaan dan kemasyarakatan terutama pada bulan Ramadan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya