PEKAN: Kenyataan bahawa seramai 687 peserta Felcra Sri Makmur di sini menuntut pihak bertanggungjawab membuat bayaran buah tandan segar (BTS) yang tertunggak RM6.4 juta sejak April tahun lalu didakwa tidak benar.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan (AJKP) Felcra Sri Makmur, Asmayudin Uyub berkata, ia juga tidak berasas dan dia yakin hanya beberapa individu sahaja membangkitkan isu itu kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku.
“Pada perjumpaan yang dianjurkan sekumpulan individu 22 Januari lalu di Dewan Sri Makmur, tiada seorangpun wakil Felcra Berhad yang hadir. Bagaimana mereka begitu yakin membuat kenyataan yang memesongkan pemikiran peserta-peserta yang terpengaruh dengan kenyataan tidak berasas tersebut. Mungkin juga kumpulan mereka ini seperti membawa agenda perpecahan dalam kalangan peserta.
“Sebagai makluman, AJKP dipilih melalui proses mesyuarat agung peserta. AJKP adalah mereka yang selayaknya membicarakan perkara-perkara berkaitan kerana AJKP penghubung antara peserta dan Felcra. Namun, beberapa nama yang menjadi jurucakap seperti Umar Kassim, Nazri Sidek dan Suhaimie Mahussin membawa pendapat peribadi kerana bukan AJKP. Hanya AJKP layak mewakili peserta seperti mana takrifan Felcra bahawa AJKP adalah wakil peserta.
“Saya cabar mereka menunjukkan semua bukti jika benar. Pertamanya, menyebut tidak menerima sara hidup atau bonus dalam tempoh setahun? Di mana asasnya kerana sara hidup dan bonus diterima oleh peserta. Jika benar seeloknya buat laporan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya di sini yang turut memaklumkan bahawa kemelut berhubung perkara itu sudah selesai pada 24 Februari lalu pada majlis penyerahan bank draf kepada Pengurus Felcra Kawasan Sri Makmur.
Pada 24 Januari lalu, Umar, 68, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felcra Sri Makmur dilaporkan sebagai mendakwa, bayaran RM6.4 juta itu tertunggak sejak urusan pembelian BTS diambil alih syarikat luar berbanding diuruskan oleh Felcra sebelum ini.
Umar dilaporkan mendakwa, pada mulanya segala urusan ladang peserta dilakukan oleh Felcra, namun pada Februari tahun lalu, pihak AJKP peringkat tiga bersetuju buah sawit dijual kepada syarikat luar kerana menawarkan pembelian kadar perahan minyak (OER) yang lebih tinggi berbanding Felcra iaitu 19.2 peratus.
Mengulas lanjut, Asmayudin berkata, berhubung OER, beliau meminta kumpulan terbabit menyatakan bukti dakwaan mereka kerana berdasarkan kepada rekod diberikan Felcra, kadarnya antara 17 hingga 18.5.
“Untuk makluman, isu OER menjadi tunjang usaha perjuangan Allahyarham Zulkefli Awang Yahya selaku Ketua Peserta Felcra Sri Makmur. Allahyarham menjadi pemberi semangat barisan AJKP memastikan agenda meningkatkan hasil pendapatan peserta berjaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peserta Felcra Bukit Sijau, Abu Had Jaafar kecewa kerana pelbagai andaian dan tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada barisan AJKP kawasan terbabit.
“Sedangkan apa yang diusahakan ini bermatlamat memberikan pendapatan yang lebih kepada peserta. Jauhkanlah diri dari fitnah kerana kita semua tahu betapa besarnya balasan Allah SWT akibat fitnah,” katanya yang juga iman pertama Masjid Al-Fatah Felcra Sri Makmur.
Bekas Ketua Peserta Sri Makmur 1, Mohamad Najid Harun pula kecewa dengan pihak Felcra kawasan yang gagal memberikan penjelasan tepat berhubung apa sebenarnya berlaku seolah-olah menjadi pencetus kepada permasalahan.
Wakil AJKP Sri Makmur 3, Bakri Sidek pula menjelaskan, pihak AJKP sudah berusaha hampir setahun untuk memperoleh surat pengesahan BTS dari pihak Felcra Berhad.
“Ini kerana, syarikat pembeli tidak boleh membuat pembayaran sepenuhnya kepada Felcra jika tiada sebarang dokumentasi sah dari agensi terbabit. Alhamdulillah berkat usaha berterusan dari barisan AJKP secara rasminya surat pengesahan yang lengkap telah dikeluarkan oleh Felcra pada 23 Februari lalu,” katanya.
Ketua Peserta Sri Makmur 2, Hussin Ishak yang lebih 15 tahun menjadi AJKP berkata, isu OER bukan perkara baharu dan beliau menyokong kerana terdapat kumpulan peserta yang berani menegur jika ada sebarang ketirisan dalam Felcra.
“Pastinya bila mana setiap ketirisan diperbaiki akan memberikan pulangan hasil lebih baik kepada peserta,” jelasnya. – UTUSAN