Pengampunan Najib: Pemimpin, ahli UMNO perlu hormati keputusan - Utusan Malaysia

Pengampunan Najib: Pemimpin, ahli UMNO perlu hormati keputusan

Johari Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua ahli UMNO perlu menghormati dan menerima keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang meringankan hukuman penjara dan mengurangkan denda ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pemimpin dan ahli UMNO kini perlu menumpukan kepada usaha membaik pulih dan memperkukuhkan parti.

“Kita kena terima keputusan dibuat Lembaga Pengampunan. Kita sebagai ahli UMNO kena akur kepada keputusan (terbabit) dan ‘move on’.

“Kita tunjuk kepada masyarakat bahawa Umno akan terus bekerjasama dan bergerak untuk memastikan bahawa (parti) boleh dibaik pulih menjelang 2027,” katanya merujuk kepada Pilihan Raya Umum Ke-16 yang ada diadakan dalam tempoh tiga tahun lagi.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian selepas perjumpaan tertutup selama dua jam antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan 191 ketua bahagian parti itu semalam

Menurut beliau, sudah tiba masanya pemimpin dan ahli UMNO membuktikan kepada pengkritik bahawa Barisan Nasional (BN) yang pernah dominan itu boleh bangkit semula dan kembali lebih kuat memperjuangkan rakyat.

Perjumpaan dengan ketua bahagian tersebut diadakan susulan pengumuman Lembaga Pengampunan yang memendekkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menzahirkan rasa sedih namun menghormati keputusan lembaga itu.

Bagaimanapun, UMNO akan terus memperjuangkan keadilan untuk bekas presidennya itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN