Pembinaan blok tambahan Hospital Pontian dilaksana ikut jadual - Ahmad - Utusan Malaysia

Pembinaan blok tambahan Hospital Pontian dilaksana ikut jadual – Ahmad

AHMAD Maslan (berbaju batik) diberikan penerangan tentang cadangan projek menaik taraf Hospital Pontian di Hospital Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Projek menaik taraf Hospital Pontian dengan kos  RM150 juta tetap akan dilaksanakan mengikut jadual yang dirancang bagi kemudahan kira-kira 230,000  penduduk daerah ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kajian awal mengenai projek tersebut telah dilakukan tahun lalu yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM500,000.

Katanya, cadangan projek naik taraf itu melibatkan pembinaan dua buah blok tambahan di atas tanah hampir satu hektar bersebelahan hospital sedia ada termasuk tempat letak kenderaan.

“Komponen utama bangunan tambahan turut menyediakan wad kecemasan, bilik bedah, wad kelas pertama, bahagian sajian makanan dan sebagainya,” katanya ditemui selepas melawat tapak cadangan projek tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan dan Ketua Penyelia Jururawat Hospital Pontian, Azizan Atan.

Dalam Belanjawan 2023 pada Februari  tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM36.3 bilion bagi sektor kesihatan, termasuk bagi memulakan kerja awalan untuk menaik taraf 26 hospital termasuk pembesaran Hospital Pontian yang sudah berusia hampir seabad.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, cadangan pembinaan blok tambahan turut melibatkan kerja-kerja merobohkan bangunan di hadapannya untuk dijadikan sebagai tempat letak kenderaan.

“Pada 7 Februari ini, satu perbincangan lanjut akan diadakan bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya yang turut dihadiri oleh ADUN Pulai Sebatang di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berharap perbincangan itu nanti dapat menyelesaikan beberapa masalah yang berbangkit bagi membolehkan projek tersebut disiapkan mengikut  jadual, sekali gus meningkatkan kemudahan kesihatan bagi penduduk Pontian tanpa perlu dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru atau  Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya