PETALING JAYA: Seorang lelaki yang juga pekerja p-hailing ditahan polis selepas membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara di sini, awal pagi ini.
Penahanan itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat berhubung kejadian pada pukul 1.52 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Fakhrudin Abdul Hamid berkata, susulan laporan itu, lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan ditahan di rumahnya di Flora Damansara.
Kata beliau, suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
“Suspek disyaki menggunakan bom petrol yang dibaling ke arah kenderaan itu sebelum terbakar,” katanya di sini.
Mohd. Fakhrudin berkata, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan.
Menurut beliau, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api,” katanya.
Mohd Fakhrudin berkata, siasatan lanjut mendapati tujuan suspek melakukan perbuatan tersebut bagi mendapat rating tinggi di aplikasi TikTok.
“Dengan cara memuat naik video berkenaan melalui telefon bimbitnya,” jelasnya.
Terdahulu, sebuah kenderaan milik polis bantuan Prasarana yang diletakkan di lokasi berhampiran MRT dibakar pukul 1.17 pagi tadi.
Sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Damansara telah ditugaskan ke lokasi kejadian.
Kebakaran itu berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit.
Dalam laman sosial Tiktok tular video seorang lelaki membakar sebuah kenderaan polis bantuan.
Lelaki terbabit memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan yang sedang terbakar.
Lelaki itu turut membuat hantaran ‘berpuas hati dapat membakar kereta polis #polistakdekeje.’ – UTUSAN