Lebih 400,000 dijangka 'serbu' negara sempena Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Lebih 400,000 dijangka ‘serbu’ negara sempena Tahun Baharu Cina

SEBAHAGIAN pengembara dari Singapura memasuki negara ini melalui CIQ BSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 400,000 pengembara dijangka akan memasuki negara ini melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua (LinKedua) sempena sambutan Tahun Baharu Cina, pada 10 dan 11 Februari ini.

Justeru, semua agensi terlibat mengawal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan beroperasi penuh.

Pengarah Imigresen negeri, Baharuddin Tahir memberitahu, komitmen sama turut diberikan oleh Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

“Pada bulan Januari lalu, seramai 5.2 juta pengembara telah memasuki negara melalui BSI dan KSAB, dengan purata harian 170,000 pengembara.

“Menjelang Tahun Baharu Cina ini, kita jangka jumlah itu akan meningkat sehingga lebih 200,000 pengembara masuk sehari. Kita juga jangka kesesakan akan bermula dalam tempoh sehari atau dua hari sebelum perayaan pada 10 dan 11 Februari ini.

“Pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu, seramai 348,693 pengembara masuk, iaitu pada 20 dan 21 Januari 2023. Namun tahun ini kita jangka lebih ramai lagi akan masuk dalam tempoh dua hari perayaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Inisiatif Mengatasi Kesesakan di CIQ BSI dan KSAB, di sini hari ini.

Baharuddin memberitahu, antara inisiatif diambil pihaknya dalam memastikan kelancaran trafik ketika sambutan termasuk membuka kesemua 284 kaunter di BSI serta 169 kaunter di KSAB melibatkan laluan kereta, motosikal, bas dan lori.

“Selain itu, laluan kontra juga akan dibuka melibatkan kaunter kereta dan bas. Inisiatif ini akan menyaksikan pertambahan 50 peratus jumlah kaunter sedia ada bagi memastikan kelancaran trafik memasuki negara ini dalam tempoh perayaan.

“Kita juga akan meneruskan pelaksanaan Quick Response Team (QRT) bagi membantu menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang berlaku,” katanya sambil menasihatkan pengembara supaya beretika sepanjang menggunakan laluan tersebut, dengan tidak melakukan sebarang provokasi terhadap pegawai dan anggota bertugas.

“Saya juga berharap insiden pengembara kencing di tempat tidak sepatutnya seperti yang tular tahun lalu tidak berulang. Mungkin boleh ke tandas terlebih dahulu dan menyusun jadual perjalanan dengan sewajarnya. 

“Pengembara juga diharapkan dapat memastikan baki kad Touch n Go mereka mencukupi bagi melancarkan lagi perjalanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya