KPM belum terima aduan penggunaan 'energy stick' di sekolah - Utusan Malaysia

KPM belum terima aduan penggunaan ‘energy stick’ di sekolah

WONG KAH WOH (dua dari kiri) menyampaikan replika cek cura BAP kepada Yahya Jaafar (kanan) sambil diperhatikan oleh Anuar Sukiran (tengah) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2024 di Dewan Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan (KPM) masih belum menerima sebarang aduan berkaitan penggunaan ‘energy stick’ dalam kalangan pelajar setakat ini.

Justeru, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh meminta pihak yang mempunyai maklumat menyalurkan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM kerana perkara itu penting bagi memastikan pencegahan awal dapat diambil sebelum keadaan lebih mudarat.

“Kita mahu pentadbiran setiap sekolah memantau perkara ini dan jika ada berlaku apa-apa kes, mereka hendaklah terus melaporkan ke KPM. Kita pandang serius isu ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2024 di Dewan Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran dan Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar.

Kah Woh berkata, kementerian  turut mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap peniaga yang menjual produk tersebut, khususnya kepada pelajar.

“Semua lapisan masyarakat perlu memainkan peranan mereka dalam menangani masalah ini, khususnya ibu bapa dan guru-guru sekolah kerana perkara ini boleh mendatangkan mudarat dalam jangka masa panjang.

“Aduan tentang perkara tersebut boleh dibuat secara terus kepada JPN, Pejabat Pendidikan Daerah dan kepada laman web SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my/eApps/system/index.do.

“Setiap aduan yang diterima KPM akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet, kita ada pasukan yang memantau aduan-aduan diterima,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, Kah Woh memberitahu, KPM telah memperuntukkan sebanyak RM78,501,300 sebagai BAP kepada seramai 523,342 murid dan pelajar di 1,192 buah sekolah di negeri ini.

“Selain BAP, KPM turut menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada murid dan pelajar termasuk Bantuan Makanan Prasekolah (BMP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), perluasan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN