Integrasi rancang bina pusat pengajian pondok moden di Chenor - Utusan Malaysia

Integrasi rancang bina pusat pengajian pondok moden di Chenor

MOHD. JAFRI Zainal Abidin (kiri) menyampaikan sijil wakaf tanah miliknya kepada Zuhairi Ab. Kadir di Kampung Mentenang, Chenor di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Institut Tarbiah dan Teknologi Islam (Integrasi) merancang membina pusat pengajian
pondok moden dan kitab-kitab turash di tanah wakaf seluas 1.01 hektar di Kampung Mentenang, Chenor di sini.

Penaungnya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, tanah ditepi Sungai Pahang itu diwakafkan kepada institut berkenaan oleh pemiliknya, Mohd. Jafri Zainal Abidin dan isterinya, Aswardati Yaakob.

“Kita berterima kasih kepada Mohd. Jafri dan isterinya kerana mewakafkan tanah ini bagi membolehkan kita membina sebuah pusat pengajian pondok moden di sini.

“Apabila siap nanti, di pusat ini kita akan membuka peluang kepada pelajar dewasa lelaki yang ingin mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendalami kitab kitab lama secara
bertalaqqi dengan guru yang kita import dari Thailand dan Indonesia.

“Sudah pastinya ilmu agama yang disematkan di dada pelajar kita akan mengikut acuan Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam yang berpegang dengan ajaran Islam sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW serta para sahabat,” katanya di sini semalam.

Zuhairi berkata, di atas tanah wakaf itu nanti, Integrasi merancang membina sebuah surau, 30 pondok kecil, bangunan dua tingkat untuk tempat tinggal pelajar dan sebuah kantin.

“Untuk pondok, satu pondok kita anggarkan berharga RM10,000. Kos keseluruhan bagi menyiapkan pusat pengajian ini kita anggarkan antara RM5 ke RM6 juta. Untuk permulaan kita perlukan antara RM100,000 ke RM150,000 untuk kerja-kerja meratakan tanah di situ.

“Jadi kita membuka kepada orang ramai dan tokoh-tokoh korporat yang ingin membantu merealisasikan pembinaan pusat pengajian pondok moden ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga merancang membina sebuah jeti kerana lokasi tanah wakaf itu bersebelahan Sungai Pahang.

“Kita hendak pastikan, akses ke pusat pengajian pondok moden ini bukan sahaja melalui jalan darat malah air. Insya-Allah kita akan berusaha yang terbaik bagi merealisasikannya,” katanya.

Mereka yang berminat dan ingin menyumbang boleh menghubungi Pengerusi Integrasi, Ustaz Ishak Ismail di talian 0195637951 bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung projek tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN