JOHOR BAHRU: Program UDA Cares, Back To School 2024 di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini nyata mampu meringankan bebanan ibu bapa dalam membuat persediaan pembukaan semula sesi persekolahan anak-anak mereka.
Seorang penerima, Azreen Nor Abdul Razak, 39, bersyukur kerana terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan sebanyak RM350 kerana keluarganya masih bergelut memulihkan aspek ekonomi pasca pandemik Covid-19.
“Sebelum pandemik Covid-19, saya dan suami berniaga makanan, tetapi ketika pandemik perniagaan terpaksa dihentikan dan kini suami bekerja sebagai petani untuk menyara kehidupan kami sekeluarga.
“Alhamdulillah, walaupun keadaan ekonomi tidak seperti dahulu namun kami sedang menyusun kembali kedudukan ekonomi keluarga. Apabila ada program seperti ini sudah pasti ia sangat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya ibu kepada tiga cahaya mata itu sambil berharap program sedemikian dapat diteruskan pada masa depan agar lebih ramai pihak menerima manfaatnya.
Perkara sama turut diakui Muhammad Fakhrur Razi Ishak, 33, yang bekerja sebagai seorang penghantar makanan sepenuh masa.
Jelas bapa kepada empat orang anak itu, program sedemikian amat penting bagi keluarganya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan baharu kepada dua orang anaknya yang masih bersekolah.
“Alhamdulillah, saya terkejut juga apabila diberitahu anak tersenarai sebagai penerima kerana ini kali pertama keluarga kami mendapat bantuan seperti ini.
“Memang amat bersyukur, sumbangan diberikan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan membeli baju sekolah, kasut, beg dan alat tulis baharu bagi menaikkan semangat mereka kembali ke sekolah,” katanya.
Dia juga berharap UDA akan meneruskan program sedemikian pada masa depan supaya lebih banyak pihak, khususnya yang kurang berkemampuan terus dibantu dari semasa ke semasa. – UTUSAN