Graduan INSTEDT sedia hadapi cabaran akademik, pekerjaan - Utusan Malaysia

Graduan INSTEDT sedia hadapi cabaran akademik, pekerjaan

MD. ISMAIL Ahmad Khan menyampaikan diploma kepada seorang graduan, Nurul Atiqah Zulkefli pada Istiadat Konvokesyen INSTEDT Ke-16 di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) perlu melengkapkan diri bukan sahaja dengan kelulusan akademik, malah juga sahsiah kendiri bagi memasarkan diri dalam pasaran pekerjaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT), Mejar Jeneral (B) Datuk Md. Ismail Ahmad Khan berkata, graduan masa kini perlu berdepan pelbagai cabaran realiti dunia kehidupan yang memerlukan mereka bersaing dengan pihak lain.

Justeru, katanya, pembelajaran sepanjang hayat, proses peningkatan kemahiran kendiri dan keyakinan diri amat penting dalam membina masa depan yang cemerlang. 

“Organisasi dalam pasaran hari ini sentiasa mencari individu terbaik bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar. Mereka mahukan individu yang bukan sahaja baik daripada segi akademik, malah lebih utama adalah mempunyai sikap berdaya saing, berkemahiran serta berkeyakinan. 

“Membudayakan ilmu adalah proses dinamik berterusan dan merupakan komponen penting dalam proses pembangunan sahsiah diri, organisasi dan negara. Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa ditingkatkan dan dikukuhkan. 

“Sehubungan itu, graduan hari ini perlu beri yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan agar secara tidak langsung mereka juga menyumbang terhadap pembangunan negara pada masa depan,” katanya semasa merasmikan Istiadat Konvokesyen INSTEDT Ke-16 di Hotel Berjaya Waterfront, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif INSTEDT, Datuk Shahrul Azila Mohd. Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif, INSTEDT, Datin Hariza Hashim.

Seramai 214 graduan dianugerahkan diploma, termasuk 14 penerima sijil kohort pertama Program Sijil Pembantu Perawatan Pesakit.

Md. Ismail berharap graduan akan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang telah mereka pelajari sepanjang pengajian di IPT berkenaan, sekali gus mencerminkan keberhasilan INSTEDT dalam melahirkan generasi berintelektual, berdisiplin dan berkemahiran tinggi.

Sementara itu, Shahrul Azila memberitahu, seramai 90 peratus daripada graduan IPT itu telah mendapat pekerjaan termasuk di Hospital Gleneagles Medini.

“Kejayaan ini secara tidak langsung memberi inspirasi kepada semua ahli akademik, kakitangan sokongan dan  mahasiswa INSTEDT untuk terus berusaha melakar kejayaan pada masa depan. INSTEDT kekal komited dalam memastikan institusi ini terus relevan sebagai sebuah pusat kecemerlangan ilmu di rantau ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya