Dua lelaki didakwa urus rumah persundalan, wanita Thailand dituduh cari pelanggan - Utusan Malaysia

Dua lelaki didakwa urus rumah persundalan, wanita Thailand dituduh cari pelanggan

LIM KUP NAM (dua dari kiri) dan Liew Ching Choy (dua dari kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas tuduhan menjaga dan menguruskan rumah persundalan di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan mengurus atau menolong dalam pengurusan sebuah rumah persundalan, bulan lalu.

Tertuduh, Lim Kup Nam, 59, yang juga penganggur dan pemandu lori, Liew Ching Choy, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama menyimpan wanita bagi maksud mengurus atau menolong dalam pengurusan sebuah rumah persundalan di Jalan Indah 12/8, Taman Bukit Indah di sini, pada 1 Januari hingga 25 Januari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Umar, Faiz Abdul Kohar mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Peguam bela, Goh Sze Han yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya dibenarkan ikat jamin dengan jumlah yang rendah memandangkan seorang daripadanya bekerja sebagai pemandu lori dan seorang lagi tidak bekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah serta menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, dua wanita warga asing didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di Jalan Indah 10/6, Taman Bukit Indah, di sini, kira-kira pukul 7.30 malam, 25 Januari lalu.

Dua warga Thailand, U-Raiwan Sukha (dua dari kiri) dan Konchanok Naleebut didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan menjalankan aktiviti persundalan di Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Tertuduh, Konchanok Naleebut, 26, dan U-Raiwan Sukha, 25, yang merupakan warga Thailand mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita Thailand itu turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah dikenakan sebatan maksimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqillah Ahmad Rofaei mencadangkan RM10,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara dengan membenarkan tertuduh dijamin, namun Sze Han yang turut mewakili kedua-dua tertuduh memohon ikat jamin dibenarkan dengan jumlah yang rendah.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali selain menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 7 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya