Bekas kontraktor ubah suai rumah diperintah bela diri bunuh isteri

Bekas kontraktor ubah suai rumah diperintah bela diri bunuh isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang bekas kontraktor ubah suai rumah diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini membela diri atas pertuduhan membunuh isterinya dengan cara menekup wanita itu menggunakan selimut, tiga tahun lalu.

Hakim K. Muniandy memerintahkan Chuah Chin Hoe membela diri selepas berpuas hati terdapat bukti kukuh menunjukkan lelaki itu merupakan individu terakhir bersama mangsa sebelum kematiannya.

Chin Hoe, 50, didakwa membunuh bekas kerani akaun, Lau Bee Hong, 46, di bilik tidur kondominium didiami mereka di Setapak di sini di antara pukul 2.30 pagi dan 9.30 pagi, 9 Mei 2021.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah berpendapat, pihak pendakwaan bersandarkan kepada keterangan ikut keadaan kerana tiada saksi mata yang melihat kejadian. 

Pada hemat Hakim Muniandy, rantaian keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan dinilai secara keseluruhan sebelum mahkamah menentukan sama ada terdapat kes prima facie terhadap tertuduh.

Dalam hal ini, beliau berpuas hati bahawa hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah akibat lemas selepas mangsa ditekup sehingga tidak bernafas.

Selain itu, mahkamah juga berpuas hati, rumah tempat kejadian hanya didiami oleh tertuduh bersama-sama isteri dan tiga anak mereka dan tiada bukti menunjukkan kediaman itu dipecah masuk.

Dalam keputusannya, Hakim Muniandy menyatakan, anak lelaki pasangan itu memberi keterangan bahawa pada malam kejadian, mangsa memberitahunya dan adik-adik bahawa dia mahu bercerai dengan bapa mereka.

“Menurut saksi, ibunya kemudian meminta kepastian siapa mereka akan ikut kelak. Selepas perbualan itu, mangsa tidur dengan suaminya di bilik, namun wanita itu ditemukan mati pagi esoknya,” ujar beliau.

Hakim Muniandy selanjutnya menyatakan, tertuduh bersama anak-anaknya cuba menyelamatkan mangsa bagi menunjukkan dia tidak bersalah dan tidak terlibat dalam kejadian yang membawa kematian wanita itu.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir mewakili pihak pendakwaan manakala peguam-peguam Datuk Geethan Ram Vincent, Lavinia Raja dan Revin Kumar mewakili tertuduh.

Seramai 17 orang saksi pendakwaan termasuk dua anak pasangan itu dipanggil memberi keterangan sejak hari pertama perbicaraan bermula 11 Oktober 2022.

Terdahulu, Geethan memaklumkan, anak guamnya memilih memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi dan pembelaan akan mengemukakan tiga saksi termasuk tertuduh.

Mahkamah menetapkan perbicaraan didengar pada 24 dan 25 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya