KOTA KINABALU: Demi anak, Lijiana Mahmad, 36, sanggup berbelanja hampir RM200 hanya untuk tambang teksi dari Keningau ke Kota Kinabalu bagi menghadiri majlis pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU).
Lijiana berkata, seawal pukul 5.30 pagi, dia dan suaminya sudah bergerak dari Keningau.
Menurut ibu kepada lima anak itu, dia bangga kerana anak sulungnya, Ifti Liyana Ronnie diumumkan sebagai pelajar terbaik SRU Sabah 2023.
“Anak sulung saya ini memang cemerlang dalam pelajaran sejak di peringkat tadika hingga sekolah rendah. Malah, ada guru cakap dia (Ifti Liyana) ‘telan buku.’
“Saya tidak mempunyai latar belakang sekolah agama, begitu juga suami yang merupakan seorang mualaf.
“Tapi dari segi pembelajaran anak, kami hanya minta mereka luangkan masa sekurang-kurangnya sejam sehari untuk mengulang kaji,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SRU dan Sijil Menengah Ugama (SMU) di sini, semalam.
Sementara itu, Ifti Liyana yang bercita-cita menjadi seorang doktor memberitahu, dia akan menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau II dan mengambil bahasa Arab.
Murid yang bersekolah di Sekolah Agama Negeri (SAN) Tudan Baru, Keningau itu berkata, dia sentiasa menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji pelajaran dan usaha berterusan itu ternyata membuahkan hasil.
Bagi Ahmad Zulhazmi Ansir, 17, yang diumumkan sebagai pelajar terbaik SMU Sabah, memandangkan peperiksaan tersebut lebih banyak kepada menghafal, maka dia akan bangun subuh agar apa yang dibaca mudah dihafal.
Malah jika berkesempatan, dia juga akan sembahyang tahajud pada tengah malam sebelum memulakan proses menghafal. – UTUSAN