JOHOR BAHRU: Zoo Johor yang ditutup bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sebelum ini akan dibuka kepada orang ramai mulai April ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Zoo Johor berwajah baharu itu bersedia menerima pengunjung setelah kerja-kerja menaik taraf fasa satu dijangka siap dalam masa terdekat.
Katanya, kerja penyelenggaraan yang meliputi lima zon utama, iaitu balai ketibaan, pintu masuk utama, pekarangan, sebahagian sangkar burung serta tempat penyediaan makanan haiwan yang baharu.
“Syukur alhamdulillah, menerusi lawatan hari ini, saya dimaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan.
“Zoo Johor yang akan berwajah baru ini sudah pastinya akan menjadi satu daya tarikan di negeri ini, seterusnya mampu meletakkan negeri Johor sebagai destinasi pilihan utama para pelancong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Terdahulu, Onn Hafiz melawat Zoo Johor yang sedang dalam proses dinaik taraf sebelum dibuka untuk khalayak umum.
Zoo Johor merupakan salah satu destinasi pelancongan dan tempat tarikan pelancong yang diberikan tumpuan untuk dibaik pulih bagi menarik kehadiran para pengunjung ke negeri ini.
Antara lokasi tumpuan pelancong yang turut diberikan tumpuan ialah Muzium Diraja Sultan Abu Bakar, Muzium Tokoh dan Air Terjun Kota Tinggi.
Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkukuhkan dan memperbaiki kualiti perkhidmatan dengan menambah baik segala infrastruktur dan fasiliti pelancongan di negeri ini.
“Usaha ini adalah demi menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan terbaik di rantau ini,” katanya. – UTUSAN