Zahid sifatkan Badan Peguam ‘menyibuk’

Zahid sifatkan Badan Peguam ‘menyibuk’

AHMAD Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Badan Peguam memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskannya tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan sebagai busy body (menjaga tepi kain orang).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Badan Peguam memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepaskannya tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan sebagai busy body (menjaga tepi kain orang).

Timbalan Perdana Menteri berkata, Badan Peguam me­nunjukkan sifatnya yang sebenar apabila menjadi selektif atau pilih bulu dalam mengkritik keputusan Peguam Negara melibatkannya tetapi membisu atau takut berhubung keputusan DNAA atau lepas bebas (DNA) kes-kes terdahulu.

Antaranya kata beliau, kes Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Tamrin Ghafar yang didakwa menghasut (DNA); kes rasuah Lim Guan Eng berhubung pembelian lot tanah dan banglo (DNA) dan kes Rafizi Ramli yang menyiarkan artikel berbentuk tohmahan terhadap Tabung Haji dan dedah akaun bank (DNA).

“Pemohon cuba menggambarkan suatu imej sebagai juara keadilan kepada masyarakat awam dengan mempersoalkan keputusan responden pertama dan mahkamah yang membenarkan suatu DNAA bersabit pertuduhan-pertuduhan jenayah melibatkan kes-kes saya.

“Tetapi melihat kes-kes lepas yang mana keputusan sama dibuat oleh Peguam Negara terdahulu dalam kapasiti sebagai Pendakwa Raya yang membenarkan DNAA atau pelepasan dan pembebasan bagi kes-kes berkaitan politik lain, pemohon hanya berdiam diri atau takut atau bisu dalam tindakan mereka.

“Selain itu, pemohon telah menunjukkan kelakuan tidak rasional dan tidak munasabah dalam mempersoalkan kuasa-kuasa diberikan kepada responden pertama putatif yang menjalankan tugas beliau sebagai Pendakwa Raya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ringkasnya, pemohon adalah semata-mata ‘tukang sibuk’ dalam kes ini. Hanya pihak terjejas atau terkesan teruk de­ngan keputusan Pendakwa Raya boleh memohon suatu kebenaran untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman bersabit kes ini,” ujar Ahmad Zahid dalam afidavitnya.

Pada 4 September 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Ra­yuan) melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada lapan pertuduhan rasuah, 12 dakwaan pecah amanah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi selepas pihak pendakwaan memaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadapnya.

Pada 2 Disember 2023, Badan Peguam memfailkan permohonan semakan kehakiman dan memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan, dibatalkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN