Wujudkan SEGiM kawal selia 1.12 juta pekerja ekonomi gig - Utusan Malaysia

Wujudkan SEGiM kawal selia 1.12 juta pekerja ekonomi gig

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan disaran menubuhkan segera Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) atau badan kawal selia bagi menambah baik perlindungan sosial dan kebajikan 1.12 juta penggiat industri gig di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Sekretariat Forum Gig Ekonomi Malaysia (NGO), Datuk Seri Mohd. Shar­kar Shamsudin berkata, ia pen­ting bagi menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi industri terbabit daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.

“Penubuhan segera SEGiM atau badan kawal selia ini perlu dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu berbangkit dihadapi pekerja penghantar makanan.

“Apabila ada pihak yang dapat mengawal selia perkhidmatan p-hailing dan e-hailing, saya yakin isu-isu yang timbul dalam industri ini, insya-Allah akan dapat diselesaikan,” kata beliau sebagai mengulas ‘Kempen Grab Blackout’ anjuran pemandu rider Grab di seluruh negara, Jumaat lalu.

Kempen itu dianjurkan pemandu e-hailing bagi menuntut hak mereka yang mendakwa harga penghantaran yang ditetapkan terlalu murah.

ORANG TENGAH

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, Sekretariat Forum Gig Ekonomi Malaysia (NGO) sedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan isu-isu yang dihadapi sehingga kerajaan mewujudkan SEGiM atau badan kawal selia penggiat industri p-hailing dan e-hailing.

Beliau berkata, khidmat penghantaran makanan secara dalam talian begitu penting dan permintaan untuk mendapatkan servis para penghantar makanan meningkat dengan ketara terutama selepas penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, khidmat rider tidak terhad kepada makanan sahaja bahkan juga perkhidmatan berkaitan seperti membeli dan menghantar barangan keperluan harian.

“Penghantar p-hailing ini adalah tulang belakang bagi ekonomi gig dengan ramai pihak yang bergantung kepada perkhidmatan mereka.

“Disebabkan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh merekalah, banyak isi rumah boleh memesan makanan dan ada peniaga yang sepenuhnya bergantung kepada khidmat mereka bagi menghantar makanan,” katanya.

Jadi beliau berkata, kerajaan perlu menyelesaikan pelbagai isu dihadapi golongan itu antaranya kadar upah murah supaya industri ini tidak terhenti dan pihak yang bergantung harap kepada perkhidmatan p-hailing tidak berdepan kesukaran.

“Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menjamin kebajikan dan kehidupan rider. Mereka cuma hendak diiktiraf dalam pekerjaan yang diceburi,” katanya.

Sementara itu, di Shah Alam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memberi jaminan akan menubuhkan SEGiM bagi membela nasib pekerja dalam industri p-hailing dan e-hailing.

Menurutnya, beliau telah menyatakan komitmennya berhubung perkara tersebut semasa pertemuannya dengan penggiat industri berkenaan tahun lalu.

“Malah, Perdana Menteri ketika kempen Pilihan Negeri (PRN) Selangor pada tahun lalu turut berjumpa dengan pekerja p-hailing di negeri itu.

“Pada saya, memang SEGiM mesti dilakukan disebabkan 1.12 juta rakyat Malaysia terlibat dalam industri gig,” katanya selepas menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di Pusat Konvensyen IRDKL semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya