Wujudkan penuai sawit profesional gaji RM4,000 sebulan

Wujudkan penuai sawit profesional gaji RM4,000 sebulan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan penuai sawit profesional dalam kalangan rakyat tempatan perlu diwujudkan untuk menangani isu kekurangan pekerja dalam bidang itu. 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pewujudan program TVET diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing untuk kerja-kerja penuaian di ladang sawit. 

Katanya, isu kekurangan penuai di ladang sawit sangat serius kerana menyebabkan industri komoditi itu menanggung kerugian berbilion ringgit akibat buah kelapa sawit tidak dapat dituai. 

“Kelapa sawit adalah industri yang besar bagi negara tetapi kita punya masalah ialah pekerja. Kalau kita berdepan dengan keadaan tidak cukup pekerja, maka kita tidak boleh tuai kelapa sawit.

“Kerja-kerja biasa semua orang boleh buat tetapi penuaian, kita belum ada lagi profesion ini sebab negara ada 5.6 juta hektar ladang kelapa sawit. Jika tidak, industri ini sampai bila-bila akan bergantung kepada pekerja asing.

“Apabila matlamat mahu jadikan profesion, kena ada latihan yang betul dan dengan mekanisme yang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) buat, ia membuatkan kerja-kerja mereka lebih mudah. 

“Latih anak muda menerusi TVET dengan menjadikan penuaian sebagai kerjaya,” katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian Seminar Pandangan dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, kata Johari, dengan keluasan 5.6 juta hektar ladang sawit di negara ini, pasti menawarkan peluang pekerjaan penuaian yang besar. 

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kadar gaji lebih tinggi sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bagi menarik minat anak muda menceburi kerjaya sebagai penuai kelapa sawit. 

Beliau juga telah menyuarakan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meninjau mengadakan TVET dengan permulaan melibatkan kumpulan kecil antara 40 hingga 50 orang.

“Saya percaya, dengan adanya kumpulan kecil ini, mereka boleh dilatih oleh pakar industri untuk kerja penuaian,” katanya. 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Johari menjangkakan industri sawit Malaysia menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan tahun ini dengan petunjuk utama lebih baik yang didorong jangkaan permintaan minyak sawit teguh daripada pengimport utama. 

“Pasaran minyak sawit mengekalkan prospek optimistik untuk 2024. Industri sawit negara kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, memberi pengaruh ketara ke atas pasaran minyak dan lemak global kompetitif walaupun berdepan cabaran besar di peringkat tempatan dan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya