SEREMBAN: Seorang warga asing didenda sebanyak RM800 di Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu, Selasa lalu.
Tertuduh, Asafuddin Abdul. Nob, 23, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Majistret turut mengarahkan 14 hari penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah memberikan laporan palsu kepada anggota polis bertugas berhubung kejadian ragut serta keterangan tidak konsisten dengan kejadian tersebut.
Kesalahan itu dilakukan pada 2 Januari lalu, kira-kira pukul 7 pagi di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.
Mengikut fakta kes, warga asing berkenaan membuat laporan palsu disebabkan dompetnya yang hilang serta mahu mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang baharu.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan upah RM3,000 sebulan serta menanggung keluarga.