PONTIAN: Pelanggan yang sedang menikmati makanan dan minuman di sebuah kedai makan di Jalan Delima 7, Pusat Perdagangan Pontian, disini, tergamam apabila sebuah kereta merempuh masuk ke kedai tersebut.
Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendant Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukol 7.30 malam tadi apabila pemandu kereta berusia 68 tahun tertekan pedal minyak ketika hendak meletakkan keretanya.
Katanya, disebabkan itu, kereta yang dipandu oleh Low Chut Huat, 68, telah melanggar cermin dinding kedai sebelum masuk ke dalam kedai tersebut, dimana beberapa pelanggan berada di dalamnya.
“ Warga usia emas itu sebenarnya hendak menekan brek ketika meletakkan kenderaannya tetapi tertekan pedal minyak menyebabkan kereta tersebut melongsor masuk ke dalam kedai dihadapannya.
“ Mujur ketika kejadian tiada pengunjung yang duduk di bahagian utama kedai tersebut dan pelanggan ketika itu tidak berapa ramai,” katanya ketika dihubungi disini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, akibat rempuhan tersebut kereta Toyota Yaris dengan nombor pendaftaran JTW 8048 mengalami banyak kerosakan namun pemandu yang juga seorang peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan.
“ Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca dari kecuaian kenderaaan yang dipandu oleh lelaki warga usia ema situ yang gagal mengawal kenderaan yang dipandunya,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat dibawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Tambah beliau, lokasi kejadian ditandai dengan garisan putih sebagai pemisah jalan, terdapat petak meletak kenderaan di sebelah kiri dan kanan di Jalan Delima 7 di Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak.