Warga emas sesat dalam ladang sawit - Utusan Malaysia

Warga emas sesat dalam ladang sawit

MOHD. HANIPAH Mohd. Kassim dilaporkan sesat di ladang kelapa sawit Jalan Nyior di Kluang petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang lelaki warga emas dilaporkan sesat ketika menunggang motosikal di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Nyior  dekat sini petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian dilaporkan berlaku pukul 3.45 petang ketika Mohd. Hanipah Mohd. Kassim, 79, menunggang motosikal jenis Demak C90 nombor pendaftaran, VCK 4290.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pihaknya bersama pasukan  Bomba dan Penyelamat Kluang sebaik menerima maklumat kejadian, namun hingga kini mangsa masih belum ditemukan.

“Operasi diteruskan pada pagi ini bagi mengesan kedudukan sebenar warga emas ini,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Bahrin berharap orang ramai yang mengetahui atau terlihat lelaki warga emas ini supaya segera memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung memaklumkan Mohd. Hanipah tinggal seorang diri di Kampung Melayu, dekat sini.

Dakwanya, warga emas itu mempunyai masalah ingatan dan ada menghubunginya mengatakan dia sesat di sebuah ladang kelapa sawit namun tidak menyatakan secara tepat kedudukan sebenar sebelum panggilannya terputus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN