TEMERLOH: Warga emas yang dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di Sungai Pahang di sini ditemukan lemas berhampiran tempat mangsa memasang jaring kira-kira pukul 10.35 pagi di Kampung Belenggu di sini hari ini.
Mangsa yang merupakan pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusia 63 tahun dari Taman Temerloh Jaya Indah di sini menjaring ikan tanpa diketahui lokasinya kira-kira pukul 6 petang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, anak mangsa membuat laporan polis, Ahad lalu kira-kira pukul 9 malam memaklumkan bapanya tidak pulang ke rumah sehingga pukul 7.30 petang.
“Pada pukul lebih kurang 8.30 malam, jiran pengadu menghubunginya dan memaklumkan motosikal bapanya berada di Jalan Estet Kampung Belengu tetapi bapanya tidak kelihatan kerana hari gelap dan jalan sudah dinaiki air sedalam 1.5 meter.
“Gerakan mencari dan menyelamat dimulakan pukul 9.30 pagi diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Kekuatan penugasan pada hari pertama operasi membabitkan dua pegawai dan lapan anggota PDRM, dua pegawai dan 13 anggota JBPM. Sebanyak tiga bot digunakan dalam operasi itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan berkata, mayat warga emas terbabit dibawa ke Hospital Temerloh pukul 11 pagi untuk bedah siasat.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya cakna dan patuh kepada arahan pihak berkuasa berkaitan situasi banjir semasa. – UTUSAN