SEREMBAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut dengan kesan kecederaan tikaman di bahagian belakang badang dan kedua buku lali di sebuah rumah di Kampung Pasir, Rantau di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kira-kira pukul 10.10 pagi, pihaknya menerima maklumat berkenaan lelaki berusia 74 tahun yang tidak bekerja dijumpai sudah meninggal dunia di rumah berkenaan.
Menurutnya, susulan kejadian itu, seorang lelaki telah ditahan lebih kira-kira pukul 5 petang tadi berhampiran kawasan kejadian dan seorang lagi dipanggil ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kedua-duanya merupakan adik beradik berusia 25 dan 18 tahun, siasatan masih dijalankan termasuk motif kejadian. Mayat lelaki itu telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Asisten Superintenden Mohd. Firdaus Sudeerman di talian 010-3921373.
Sementara itu seorang penduduk, P. Chandru, 35, berkata, dia segera ke rumah mangsa yang juga jirannya itu selepas pulang dari kerja apabila bapanya memaklumkan terdengar suara lelaki itu meminta tolong pada tengah malam tadi.
Menurutnya, bapanya mempunyai masalah mata kabur dan telah meminta dirinya untuk melihat keadaan jirannya itu.
“Saya segera ke rumah itu sekitar 9.11 pagi dan sebaik membuka pintu rumah, saya terkejut jiran saya itu sudah terbaring tidak jauh dari pintu dengan terdapat banyak darah di bahagian kaki.
“Saya segera ke balai polis terdekat untuk melaporkan kejadian,” katanya lagi
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Dennis James, 25, berkata, dia sangat terperanjat dengan kejadian yang berlaku itu apatah lagi mangsa, Muhammad Zahid Nagappan, 74, yang baru setahun memeluk agama Islam kali terakhir ditemuinya pada dua hari lalu.
“Dia datang ke rumah sebab mahu memberikan ucapan sempena Krismas kepada saya sekeluarga. Dia seorang yang baik dan sudah lama tinggal bersendirian, cuma sejak akhir-akhir ini, dia terkena strok dan agak sukar bergerak,” katanya lagi.-UTUSAN.