KUANTAN: Seorang lelaki yang juga pemilik kedai 3D Sungai Lembing ditemukan lemas selepas dipercayai hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air di pekan Sungai Lembing di sini kira-kira pukul 7 malam, semalam.
Mangsa, Lee Yie Chong, 62, ditemukan kira-kira pukul 12.45 tengah malam ini terdampar di kawasan longkang Kampung Jelihan kira-kira 100 meter dari lokasinya dihanyutkan arus deras dan dipercayai sudah meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pada pukul 7.20 petang, Balai Polis Sungai Lembing menerima maklumat terdapat mangsa minta bantuan diselamatkan kerana terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku berhampiran kedai 3D di Pekan Sungai Lembing.
Katanya, pada pukul 7.30 petang, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Lembing bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan seorang perempuan, Kwong Kwai Fun, 63, dan anaknya, Kwong Kwai Heu, 37, yang terperangkap banjir kilat,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohd. Zahari berkata, pasukan penyelamat dimaklumkan Yie Chong hilang semasa mereka cuba menyeberang jalan dinaiki air yang turun dari kawasan bukit dan limpahan air Sungai Lembing.
“Hasil siasatan awal, sebelum kejadian mereka sekeluarga berada di kedai untuk mengemas dan memindahkan barang-barang ke tingkat atas bangunan kerana pekan Sungai Lembing sedang mengalami banjir kilat dan air Sungai Lembing sedang melimpah disebabkan hujan yang turun sejak pukul 3 petang.
“Selepas mengemas dan menutup kedai, mereka meredah air banjir menuju ke kereta yang diletakkan di tempat tinggi di seberang jalan untuk balik ke rumah.
“Semasa sedang meredah air banjir pada paras pinggang mangsa memberitahu bahawa dia telah penat untuk meredah dan semasa isterinya menoleh ke belakang mendapati mangsa sudah hilang dipercayai dihanyutkan arus deras,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, ekoran penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan serta merta.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN