DUNGUN: Seorang warga emas di Kampung Keliyu, Serdang, dekat sini berdepan detik cemas apabila kediaman yang dihuni bersama enam anak orang kelainan upaya (OKU) dinaiki air, pagi tadi.
Kamaludin Embong, 73, terpaksa menghubungi pasukan penyelamat untuk membawa enam anaknya iaitu Fairus, 45; Muhammad Zulkifli, 42, Hazura, 39, Hatikah, 37, Mohd. Shahrul, 32, dan Mohd. Azieem Asyraf, 29, yang kesemuanya bisu dan mempunyai masalah saraf berpindah ke lokasi lebih selamat.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Dungun, Kapten PA Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada mangsa kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum menggerakkan lima anggota bersama sebuah jentera.
“Selain kediaman mangsa, laluan ke rumah mereka juga dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan dan kami terpaksa mengharung air banjir sejauh tiga kilometer.
“Dua anak mangsa yang terlantar dan tidak dapat berjalan terpaksa diusung dengan katil dan kerusi roda,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ahmad Kamal berkata, menurut mangsa, banjir mula memasuki kawasan kediaman mangsa dengan cepat menyebabkan kesemua mereka tidak sempat keluar untuk menyelamatkan diri.
“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan kira-kira pukul 11 pagi dan mereka telah dihantar ke rumah keluarga terdekat,” katanya.