Waktu Bekerja Fleksi kakitangan awam N. Sembilan pertengahan bulan ini - Utusan Malaysia

Waktu Bekerja Fleksi kakitangan awam N. Sembilan pertengahan bulan ini

AMINUDDIN Harun (tengah) bersama barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kakitangan awam bergambar selepas menghadiri Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan negeri Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pelaksanaan sistem Waktu Bekerja Fleksi (WBF) melibatkan kakitangan perkhidmatan awam negeri itu mulai 15 Januari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun membuat pengumuman itu pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.

“Kerajaan negeri berharap pelaksanaan WBF ini akan memberi manfaat kepada kakitangan awam di negeri ini terutamanya membantu mereka berhadapan isu seperti kesesakan jalan raya dan menguruskan keluarga.

“Ia sepatutnya meningkatkan motivasi semua kakitangan terbabit untuk memberi perkhidmatan lebih cekap dan berkesan kepada rakyat,” katanya kepada para pemberita selepas perhimpunan tersebut di pekarangan Wisma Negeri di sini.

Lebih 1,000 kakitangan awam negeri dan Persekutuan hadir pada perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, tambahnya, pelaksanaan WBF boleh ditarik balik sekiranya ia disalah guna hingga mengganggu sistem pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam perhimpunan itu, Aminuddin mengajak para penjawat awam di negeri ini berpegang kepada empat strategi utama bagi memacu Negeri Sembilan sepanjang tahun ini.

Strategi pertama, jelasnya ialah memperkasa usaha menangani kos sara hidup rakyat dengan merangka pelbagai kaedah terbaik supaya rakyat tidak terlalu  terbeban dengan kenaikan harga barang dan memastikan bekalan makanan yang mencukupi.

“Kedua ialah meningkatkan hasil ekonomi negeri melalui urus tadbir yang baik dan berkesan yang dapat dilihat melalui lonjakan hasil negeri daripada kira-kira RM400 juta kepada lebih RM500 juta dalam tempoh lima tahun pentadbiran ini.

“Ketiga ialah memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan penuh integriti serta lebih hebat termasuk mengoptimumkan sumber kerajaan untuk manfaat rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, strategi keempat memerlukan para penjawat awam bersedia dengan cabaran mendatang, berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global untuk memberi nilai terbaik kepada rakyat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya