PEKAN: Pihak berwajib diingatkan supaya menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir yang sudah pun dirangka di seluruh negeri ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pelaksanaan projek jangka panjang itu perlu dipandang serius dan tidak wajar dipolitikkan.
“Saya harap jangka panjang kerajaan harus mempercepatkan projek-projek tebatan banjir yang mana telah pun dirangka oleh pihak berwajib di seluruh negeri Pahang.
“Kita haraplah janganlah berpolitik dalam hal ini. Seelok-eloknya secara serius dan secara ‘urgent’ untuk membina tebatan-tebatan banjir di seluruh negeri Pahang,” titah baginda ketika mencemar duli menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Chini 1 di sini hari ini.
Berkenan berangkat sama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Al-Sultan Abdullah dalam pada itu bertitah, agar mangsa banjir sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelakkan sebarang penyakit.
“Saya cuma mengingatkan semasa kita berada di PPS ini, saya harap kita kena jaga kebersihan. Jangan pula masa kita bersusah di PPS, saya bimbang selepas banjir habis, kita dapat penyakit pula.
“Macam-macam penyakit sekarang. Wabak Covid-19 pun masih lagi berada di negara kita. Kita tidak mahu penyakit lain pula. Sebab itu ingatan saya tentang kebersihan di PPS ini khususnya keadaan bilik air.
“Jangan pandang ringan hal ini. Sebab ia boleh menjadi punca kalau kita. tidak bersama-sama dalam hal ini,” titah baginda.
Seri paduka dalam pada itu menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa banjir dan berharap mereka yang masih berada di PPS dapat pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat. – UTUSAN