SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan telah memulakan persediaan awal sebagai langkah menghadapi pilihan raya akan datang dalam keadaan lebih kuat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, antara langkah yang diambil termasuklah menjadikan tiga buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sebagai DUN angkat UMNO negeri ini.
“DUN Serting akan diselaraskan oleh Ketua UMNO Bahagian Jempol dan Wanita UMNO Negeri Sembilan, DUN Bagan Pinang pula diselaraskan Ketua UMNO Bahagian Port Dickson dan Pemuda UMNO Negeri Sembilan.
“DUN Gemas pula akan diselaraskan Ketua UMNO Bahagian Tampin dan Puteri UMNO Negeri Sembilan,” katanya hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, parti itu di negeri ini akan terus memperkukuhkan jentera bagi usaha mempertahankan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik di negara ini.
Selain itu, katanya, UMNO harus lakukan penambah baikan yang luas biasa dengan pelbagai gerak kerja dan pendekatan bersama bagi memperoleh hasil yang baik seterusnya dapat mengembalikan semula keyakinan kepada rakyat.
“Kami juga akan terus jadikan Negeri Sembilan sebagai negeri ‘kubu kuat’ kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) yang masih releven dalam menguruskan kepentingan rakyat,” katanya.-UTUSAN.