KUALA PILAH: Seekor ular sawa seberat 120 kilogram ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah di Terentang, Batu Kikir, di sini semalam.
Pegawai APM Daerah Kuala Pilah, Lt. (PA) Mohamad Ghazali Abd. Rahim berkata, sebaik menerima panggilan pada pukul 12.12 tengah malam, seramai empat orang anggota telah bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pengadu yang merupakan penduduk setempat memaklumkan terdapat ular sawa batik di kawasan berdekatan kandang kambing miliknya.
“Penduduk itu sedar apabila seekor kambingnya mati dibaham ular lalu menjadikan kambing itu sebagai umpan untuk menangkap ularsawa berkenaan.
“Setibanya di lokasi, anggota APM dibawa berhampiran kandang dan menangkap ular sawa batik dalam keadaan kekenyangan selepas menelan seekor kambing seberat 25 kilogram,” katanya kepada pemberita.
Mohamad Ghazali berkata, ular itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Pilah sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.