SEREMBAN: Sebanyak RM2.03 juta jumlah tunggakan sewa dicatatkan daripada dua buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliaan dan disediakan pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, dua buah PPR tersebut adalah Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi) dan Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak (PPRT Lobak) di sini.
Menurut beliau, di PPR Paroi, jumlah tunggakan sewa bulanan secara keseluruhannya telah mencecah sebanyak RM1.1 juta manakala di PPRT Lobak jumlah telah mencecah sebanyak RM930,000.
“Jumlah penyewa yang mempunyai tunggakan sewaan rumah di PPR Paroi adalah seramai 208 penyewa manakala di PPRT Lobak ada seramai 96 penyewa.
“Tunggakan sewaan paling tinggi di PPR Paroi adalah sebanyak RM25,000 bagi satu unit dan di PPRT Lobak pula adalah sebanyak RM30,000. Tempoh tunggakan paling lama di PPR Paroi pula mencecah selama 14 tahun manakala di PPRT Lobak paling lama tertunggak adalah 17 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Cabutan Bertuah Kepada Pembayar Secara Dalam Talian Dengan Bayaran Penuh Cukai Taksiran di Wisma MBS di sini hari ini.
Menurut Masri, alasan tunggakan oleh penyewa terlibat yang diterima oleh pihak MBS majoritinya adalah berkaitan ketidakmampuan untuk membayar kadar sewaan sebanyak RM150 sebulan itu.
“Bayaran (sewaan) tidak mahal, RM150 sebulan sahaja sebulan, mereka kena ada usaha dan cari jalan untuk selesaikan tunggakan, apabila tidak bayar jadi banyak itu yang jadi susah, kalau konsisten buat pembayaran ia tidak jadi masalah, saya harap kita dapat atasi malah tunggakan yang besar di dua buah kawasan PPR ini,” katanya.
Tambah beliau, bagi mengatasi isu berkenaan, pihaknya juga telah menjalankan pelbagai kaedah termasuk membuka kaunter pembayaran di dua buah PPR terlibat selain membuat kutipan dari pintu ke pintu.
“Saya difahamkan di PPR Paroi, kebanyakan penyewa yang mempunyai tunggakan di bawah RM10,000 mereka sudah hadir berbincang untuk menjadualkan semula pembayaran tunggakan sewaan mereka itu cuma yang memiliki tunggakan dengan jumlah yang lebih besar, kami masih menunggu mereka untuk berbincang mengenai penjadualan semula itu.
“Notis tunggakan sudah kami berikan selain arahan untuk bayar secepat mungkin kerana jumlah tunggakan ini begitu tinggi, saya harap mereka dapat bayar kerana jumlahnya bukan sedikit,” katanya lagi.-UTUSAN.