KOTA BHARU: Tunggakan gaji yang membelenggu barisan pemain, pegawai dan jurulatih Kelantan United sebelum itu akan selesai sepenuhnya hujung bulan ini.
Presidennya, Rozi Muhammad memberi jaminan itu selepas hampir berjaya menyelesaikan tunggakan itu melalui langkah bayaran secara berperingkat yang dilaksanakan sejak awal bulan ini.
Menurutnya, terdahulu pihak kelab telah membuat bayaran tunggakan gaji untuk bulan Ogos dan September disusuli bayaran untuk bulan Oktober serta November.
“Insya-Allah pada hujung bulan ini kita akan buat bayaran untuk tunggakan gaji bulan Disember. Alhamdulillah isu itu akan selesai dalam masa terdekat,” ketika dihubungi di sini hari ini.
Rozi memberitahu, pengurusan pasukan sebolehnya tidak mahu masalah tunggakan gaji tersus berpanjangan kerana mahu memberi fokus kepada pembinaan pasukan untuk saingan Liga Super 2024.
Katanya, pengurusan Sang Kijang Hijau sentiasa komited dalam melangsaikan segala tunggakan gaji kerana memahami tanggungjawab sebagai majikan.
“Mewakili pihak kelab, saya memohon kemaafan kepada pegawai, barisan kejurulatihan, semua pemain dan semua pihak termasuk penyokong atas semua isu yang melanda sehingga merencatkan perjuangan Kelantan United dalam saingan liga musim lalu,” ujarnya.-UTUSAN