KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan ahli keluarganya telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dan membekukan semua aset mereka.
Selain Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin turut disenaraikan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd, yang memiliki bangunan terbabit.
Permohonan tersebut difailkan semalam (10 Januari) di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas dan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai defendan pertama dan kedua.
Mahkamah menetapkan 16 Januari ini untuk pendengaran untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut.
Menurut kenyataan yang difailkan oleh Daim, walaupun terdapat nama rakyat Malaysia lain yang disebut dalam Kertas Pandora namun mereka tidak disiasat oleh SPRM.
Tambahnya, membuka akaun perbankan luar pesisir dan pemerolehan kekayaan oleh mana-mana warganegara bukanlah satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia. – UTUSAN MALAYSIA